Psikologi keselamatan

A
A
A

TERKESIMA apabila melihat seorang bapa menunggang motosikal lengkap dengan topi keselamatan, sambil anaknya membonceng, tetapi tanpa topi keselamatannya! Apakah yang bermain di benak fikiran si penunggang? Lantas tertanya di fikiran penulis, pada tahap manakah psikologi keselamatan yang wujud di dalam kalangan masyarakat kita?

Begitu juga apabila pembeli rumah mendapat kunci rumah, maka antara perkara pertama yang dibuat ialah memasang jeriji keselamatan. Kemudian, jiran sebelah pula apabila terlihat akan pemasangan jeriji tersebut, maka dia akan menuruti tindakan yang sama, dan seterusnya. Tidak setakat itu, mungkin ada juga jiran yang kemudian memasang sistem keselamatan berkamera di samping pemasangan jeriji. Namun, sedar atau tidak, semua tindakan tersebut sebenarnya dipengaruhi secara kognitif dan psikologi dalam perkiraan keselamatan penduduk.

Dua senario di atas adalah antara banyak lagi senario yang wujud sama ada dalam konteks domestik mahupun antarabangsa, dan ia sebenarnya secara ilmiah boleh dikategorikan sebagai psikologi keselamatan, suatu cabang ilmu yang semakin berkembang dan kepentingannya telah mula dilihat secara konstruktif. Psikologi keselamatan sebenarnya melibatkan proses kognitif atau mental dan juga perlakuan. Psikologi keselamatan seringkali dikaitkan dengan bagaimana ketakutan, penilaian terhadap risiko dan kebimbangan diukur dan ditimbang menjadi faktor penolak terhadap kewujudan keselamatan.

Kita harus faham bahawa keselamatan adalah realiti dan juga perasaan. Realiti keselamatan boleh diukur melalui kebarangkalian risiko dan keberkesanan pencegahan dan tindakbalas yang pelbagai. Perasaan keselamatan pula melibatkan tindakbalas psikologi terhadap risiko dan pelan pencegahan serta pelan tindakbalas. Oleh yang demikian, boleh difahami psikologi keselamatan ialah perasaan hasil daripada proses kognitif dan perlakuan yang dijana daripada realiti keselamatan.

Mengambil contoh di atas, penggunaan topi keselamatan, realiti keselamatan penunggang diambil kira tetapi risiko keselamatan penunggang tidak diambil kira. Begitu juga dengan contoh pemasangan jeriji di rumah, tindakan pencegahan atau risiko yang diambil kira. Ini dilakukan berdasarkan realiti seperti persekitaran rumah, kedudukan geografi rumah, atau kadar jenayah kawasan persekitaran.

Semua ini terhasil apabila perasaan keselamatan terbina. Sebagai contoh, berlaku kes rompakan di kawasan kejiranan. Persepsi terhadap perilaku jiran membentuk psikologi terhadap soal keselamatan pemilik rumah. Dan ia sebenarnya boleh menjadi wabak dan berjangkit dari seorang pemilik kepada pemilik yang lain. Perasaan keselamatan itu juga boleh terhenti pada seseorang, yang merasakan dia tidak terancam walau realitinya risiko rompakan wujud. Perasaan keselamatan dan realiti keselamatan ini sebenarnya sebuah perdagangan!

Antara contoh lain, ialah berkaitan ancaman keganasan. Realitinya, ancaman keganasan ini wujud. Hanya risiko yang berbeza. Media sosial, pengaruh fahaman, desakan ekonomi, tekanan politik, kerapuhan masyarakat, ketidakstabilan negara, serta kelemahan pertahanan boleh menjadi faktor-faktor kepada kebarangkalian ancaman keganasan. Begitu juga, wujud realiti keselamatan apabila semua faktor di atas telah diambil tindakan pencegahan, persoalan tentang setakat mana sebarang tindakan pencegahan telah diambil menjadi realiti keselamatan. Psikologi keselamatan pula terbina apabila sebarang tangkapan, kejadian dan berita sampai kepada rakyat. Maka akan ada rakyat berasa amat takut dan rasa tidak selamat, dan ada rakyat yang terus meletakkan kepercayaan kepada petugas keselamatan. Persepsi perasaan keselamatan ini berubah-ubah berdasarkan pengetahuan, kefahaman dan penerimaan rakyat terhadap risiko ancaman keganasan.

Menurut Schneier (2008), terdapat empat aspek yang boleh dilihat dalam memahami psikologi keselamatan. Pertama, perilaku ekonomi; yang melihat emosi, sosial dan proses kognitif dalam membuat keputusan ekonomi. Kedua, rasionaliti terikat; yang melihat bagaimana keputusan dibuat berdasarkan perkiraan risiko. Ketiga, persepsi risiko; bila dan bagaimana risiko boleh menjadi berbeza dalam situasi yang sama. Dan keempat, aspek neurosains; iaitu bagaimana kemampuan intelektual dan emosi menghadapi risiko dan ancaman. Persepsi risiko dan aspek neurosains penting dalam memahami perasaan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Tuntasnya, psikologi keselamatan melibatkan dua perkara, iaitu realiti keselamatan dan perasaan keselamatan. Semua realiti dan perasaan keselamatan ini adalah dalam bentuk perdagangan. Pentingnya psikologi keselamatan, ia mempengaruhi mental dan perlakuan masyarakat.

* Dr. Mohd Azmir ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia