Pelajar 'selamba' tunggang motosikal tak pakai topi keledar

Anggota polis memeriksa beberapa motosikal yang ditahan menerusi Ops Didik yang dijalankan di kawasan parkir Arena Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini pada Jumaat.
Anggota polis memeriksa beberapa motosikal yang ditahan menerusi Ops Didik yang dijalankan di kawasan parkir Arena Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini pada Jumaat.
A
A
A

SEPANG - Sebanyak 21 saman dikeluarkan dan 21 motosikal disita menerusi Ops Didik yang dijalankan di kawasan parkir Arena Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, operasi kira-kira jam 11.45 pagi itu dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap sekumpulan pelajar sekolah sedang berkumpul serta menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

"Tindakan kemudiannya diambil dengan menahan penunggang serta motosikal yang didapati terdapat beberapa kesalahan sebelum dibawa ke IPD Sepang untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, selain itu, pihaknya mengambil keterangan ibu bapa pelajar yang terlibat.

"Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran orang awam berkaitan kepentingan pematuhan peraturan jalan raya.

"Kesalahan melibatkan tidak memakai topi keledar boleh membahayakan keselamatan penunggang motosikal itu sendiri," katanya.