Projek tambak laut: Tiada aktiviti perlombongan pasir dikesan

Abdul Yunus (dua dari kiri) berbincang dengan wakil Pejabat Tanah dan Galian Perak serta agensi kerajaan berkaitan sewaktu mengadakan tinjauan aktiviti perlombongan pasir laut di Perairan Kerian hari ini.
Abdul Yunus (dua dari kiri) berbincang dengan wakil Pejabat Tanah dan Galian Perak serta agensi kerajaan berkaitan sewaktu mengadakan tinjauan aktiviti perlombongan pasir laut di Perairan Kerian hari ini.
A
A
A

KUALA KURAU - Tiada sebarang aktiviti perlombongan pasir laut sama ada secara berlesen atau haram dikesan di sepanjang Perairan Kerian sehingga kini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, satu tinjauan dibuat pihaknya bersama beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Daerah Kerian dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Perairan Kerian bagi mengenal pasti aktiviti itu.

Menurutnya, tinjauan dibuat susulan kerajaan Perak mengenal pasti terdapat enam kawasan di negeri ini difahamkan diluluskan aktiviti perlombongan pasir bagi projek tambakan laut perairan selatan Pulau Pinang (PSR) bertujuan membina tiga pulau buatan.

"Enam kawasan diluluskan lesen perlombongan pasir pada jarak lebih 20 batu nautika dari pantai oleh kerajaan Pusat di Perak adalah dua kawasan di daerah Kerian dan empat lagi di sekitar perairan Trong hingga Manjung.

"Memandangkan proses kelulusan itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Perak, kita sangat prihatin dengan isu dibangkitkan dan mengambil kira kepentingan nelayan dan kelestarian alam sekitar sekiranya aktiviti perlombongan pasir laut itu masih diteruskan.

"Setakat tinjauan dibuat, belum ada sebarang aktiviti perlombongan dijalankan di kesemua kawasan itu termasuk Perairan Kerian sehingga kini," katanya kepada media di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, kerajaan negeri sedang berusaha berbincang dengan kerajaan Pusat bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai status kelulusan keenam-enam lesen perlombongan pasir dikeluarkan di Perak sama ada akan diteruskan atau tidak.

Menurutnya, pihaknya menyeru golongan nelayan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk mengemukakan aduan sekiranya menerima maklumat terdapat aktiviti perlombongan pasir berlaku di sepanjang perairan negeri Perak selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pengesahan ketiadaan aktiviti perlombongan pasir laut dikesan, ianya diharapkan dapat melegakan kebimbangan lebih 3,000 nelayan daerah Kerian dan 6,000 nelayan di seluruh Perak.

"Pada masa hadapan, kerajaan Perak mungkin akan meminta kerajaan Pusat mengkaji alternatif kawasan pengambilan pasir laut di perairan negeri lain yang kurang menjejaskan pendapatan nelayan serta sumber perikanan," katanya.

Terdahulu, Persatuan Nelayan Negeri Perak dan Penang Institut menggesa campur tangan kerajaan Pusat untuk mengkaji semula kebenaran aktiviti perlombongan pasir tersebut daripada berlaku di sepanjang perairan Perak Utara.

Projek itu dikatakan akan menggunakan sebanyak 189 juta meter padu (m3) pasir yang akan dikorek di kawasan 20 batu nautika dekat perairan di daerah Manjung hingga Kerian, Perak.