Aktiviti perlombongan haram nadir bumi dikesan di Kuala Pilah

Lombong haram yang memproses nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah. - Foto FB Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah
Lombong haram yang memproses nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah. - Foto FB Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah
A
A
A

SEREMBAN - Satu aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi di atas dua lot tanah milik, dikesan di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah dekat sini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, aktiviti berkenaan ditemukan menerusi aduan yang diterima Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah pada 16 Mei, sebelum siasatan bersepadu dijalankan pihak berkaitan.

"Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kaedah perlombongan yang dijalankan menggunakan proses larut resap in-situ, iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan besar untuk kerja-kerja pengorekan dan pengalihan tanah, tetapi banyak menggunakan proses kimia.

"Melalui proses tersebut, cecair bahan kimia iaitu amonium sulfat digunakan untuk melarut resap dan mengekstrak nadir bumi dari dalam tanah melalui lubang yang telah digerudi dan disalurkan ke kolam tadahan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Operasi membanteras aktiviti lombong haram yang memproses nadir bumi di Seri Menanti yang turut disertai Aminuddin. - Foto FB Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah
Operasi membanteras aktiviti lombong haram yang memproses nadir bumi di Seri Menanti yang turut disertai Aminuddin. - Foto FB Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah

Beliau berkata, susulan itu beberapa sampel diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk analisis makmal, selain turut merampas guni-guni yang mengandungi bahan disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera digunakan untuk aktiviti terbabit.

Aminuddin berkata, kawasan terlibat juga disita, bagi menghalang kerja-kerja perlombongan serta mengelakkan pencerobohan dengan siasatan lanjut sedang dijalankan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, bersama-sama agensi terlibat.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki bahawa kegiatan perlombongan haram itu dibuat secara skala besar dan tindakan penguatkuasaan bersepadu akan diambil.

"Kerajaan negeri memandang serius penemuan ini dan akan memastikan pihak terbabit dikenakan tindakan setimpal berdasarkan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua pihak untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri. - Bernama