Lagi aktiviti perlombongan haram nadir bumi dikesan

Aminuddin. Gambar kecil: Laporan SInar Harian Rabu lalu
Aminuddin. Gambar kecil: Laporan SInar Harian Rabu lalu
A
A
A

KUALA PILAH - Satu lagi aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi (REE) ditemukan di kawasan tanah pertanian di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu pada Khamis lalu selepas aktiviti sama di kesan di Kampung Sikai, Seri Menanti dekat sini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung aktiviti itu pada jam 5 petang sebelum Pejabat Tanah Galian (PTG) Negeri Sembilan diarahkan untuk mengambil tindakan.

"Pada jam 10.30 malam kita menemui lokasi berkenaan di lot tanah persendirian dan nampaknya ia masih aktif di situ namun tiada tangkapan dibuat di lokasi.

"Saya dimaklumkan lot tanah kerajaan juga terlibat, bagaimanapun keluasan sebenar aktiviti itu masih belum dapat dipastikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis sambutan Hari Antidadah 2023 peringkat Negeri Sembilan dan Karnival Mega Belia Beliawanis MPKK DUN Seri Menanti bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah di Stadium Bola Ngoca pada Sabtu.

Dalam pada itu Aminuddin turut berharap masyarakat dapat memberikan maklumat sekiranya terdapat aktiviti seumpama ini kerana aktiviti terbabit dijalankan di kawasan yang agak pedalaman dan sukar dikesan.

"Kita akan terus mencari aktiviti perlombongan haram berkenaan dengan kerjasama pentadbiran daerah dan pemberi maklumat juga akan mendapat habuan yang dijanjikan," katanya.

Menurutnya, aktiviti perlombongan REE itu dilihat lebih mudah berbanding aktiviti korek pasir atau kuari kerana melibatkan aktiviti kecil namun hasilnya lumayan.

"Kita sebenarnya di peringkat pusat sedang mengkaji kesan-kesannya dan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan (REE) masih (dimaklumkan) dalam peringkat akhir," katanya.

Media pada Rabu lalu, melaporkan aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lalu melalui aduan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.

Susulan penemuan tersebut, siasatan bersepadu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan dan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia telah dijalankan.