Tambahan 13 kerusi DUN Sabah beri manfaat kepada rakyat: Tun M

Reaksi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Sidang Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Reaksi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Sidang Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan memberi manfaat kepada rakyat terutama dalam memperoleh perkhidmatan lebih cekap dan berkesan daripada wakil rakyat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia juga dapat meningkatkan taraf hidup serta merancakkan pembangunan di negeri itu.

"Pertambahan bahagian pilihan raya negeri ini akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan khususnya yang berada dalam kawasan tersebut, dan ia akan lebih memudahkan wakil rakyat serta penduduk berinteraksi bagi membincangkan hal-hal berkaitan dengan kebajikan penduduk," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul mengenai laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri di Dalam Negeri Sabah kali keenam tahun 2017.

Dr Mahathir berkata DUN Sabah telah meluluskan pindaan undang-undang ke atas Fasal (2) Perkara 14, Perlembagaan Negeri Sabah berhubung komposisi keanggotaan DUN, iaitu daripada 60 kepada 73 kerusi yang telah berkuat kuasa pada 18 Ogos 2016.

Sehubungan itu katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyiapkan laporan kajian semula persempadanan dan telah diserahkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Februari 2017, namun tidak diusulkan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen ke-13 lepas.

Dr Mahathir berkata SPR telah menyerahkan semula laporan itu kepada beliau pada 26 Jun 2018 dan telah diagihkan kepada semua ahli Parlimen di Dewan Rakyat sebagai Kertas Statut.

Beliau berkata SPR mengesyorkan sebanyak 13 bahagian ditambah iaitu Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata turut disyorkan pindaan nama ke atas satu bahagian pilihan raya Persekutuan di Sabah iaitu P. 188 Silam ditukar nama kepada Lahad Datu, selain N.17 Tanjong Aru kepada N.22 Tanjung Aru; N.50 Lahad Datu kepada N.62 Silam; dan N.59 Tanjong Batu kepada N.71 Tanjung Batu.

Katanya, SPR mempertimbangkan pelbagai faktor dalam menjalankan urusan kajian semula persempadanan itu termasuk kepadatan penduduk dan pertumbuhan pemilih, keadaan geografi, muka bumi dan keluasan bahagian pilihan raya, serta akses kepada rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan daripada wakil rakyat yang dilantik.

"Satu perkara yang ingin ditegaskan di sini adalah pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang hampir sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di dalam negeri Sabah agak sukar untuk dilaksanakan kerana terdapatnya kawasan luar bandar yang keadaan topografi dan demografinya sangat berbeza antara satu sama lain," katanya. - Bernama