Bocor minit mesyuarat: Exco lapor ke Jawatankuasa Disiplin PKR, KPM

Abdul Yunus (tengah) mengemukakan laporan polis dibuat ke atas pihak didakwa memfitnahnya di pekarangan IPD Kerian, Bagan Serai sambil diiringi lebih 30 penyokong.
Abdul Yunus (tengah) mengemukakan laporan polis dibuat ke atas pihak didakwa memfitnahnya di pekarangan IPD Kerian, Bagan Serai sambil diiringi lebih 30 penyokong.
A
A
A

BAGAN SERAI - Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari akan membuat laporan kepada Lembaga Disiplin PKR berkaitan penglibatan beberapa anggota parti dalam kes fitnah dan tuduhan palsu terhadapnya sebelum ini.

Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau berkata, laporan rasmi kepada Kementerian Pendidikan akan dibuat tentang penglibatan seorang guru bersubahat memfitnah dirinya membocorkan minit minit mesyuarat rasmi kerajaan bagi mendapatkan suapan seperti laporan polis dibuat Ahli Majlis Daerah Kerian (MDK), Beh Yong Kean semalam.

Menurutnya, kesemua laporan polis dan fitnah jahat dibuat bertujuan menjatuhkan kedudukannya sebagai Exco dan menggugat kestabilan kerajaan.

"Saya sekali lagi menafikan dengan keras segala tuduhan dan fitnah jahat dilempar terhadap saya seperti laporan polis tular sejak semalam. Sebagai wakil rakyat sejak tiga penggal lalu, gaji elaun sebagai ADUN dan EXCO sudah cukup.

"Tahun 2009, saya tolak rasuah puluhan juta untuk melompat parti dan amat pelik jika saya ingin mengambil rasuah beberapa ratus ribu seperti dituduh sekarang," katanya kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Yong Kean di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian, di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, beberapa anggota parti termasuk seorang guru sekolah menengah di sini cuba mensabotaj dirinya adalah merupakan bekas pegawai khas beliau sebelum ini.

Beliau turut menolak dakwaan membocorkan maklumat sulit kerajaan bagi mendapatkan komisen kerana perkongsian pelbagai maklumat dengan pegawai-pegawai khas dan kakitangan pejabat atas kapasiti sebagai wakil rakyat dalam urusan rasmi.

"Saya dan pegawai-pegawai pusat khidmat setiap minggu atau bulan akan bermesyuarat, banyak dokumen serta surat-surat kerajaan dibincangkan untuk menyelesaikan pelbagai aduan dan masalah rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Jadi apa masalahnya berkongsi maklumat dengan mereka? Pengadu sendiri pun mengaku beliau adalah pegawai khas saya sebelum ini," katanya.

Menurutnya, Yong Kean yang membuat laporan polis ke atasnya didakwa ialah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang yang kini dalam proses tindakan penguat kuasaan oleh beberapa agensi.

"Saya yakin Yong Kean juga mempunyai motif dendam ke atas saya memandangkan saya juga tidak menyokong kelulusan beberapa permohonan tanah yang dimintanya sejak tahun lalu," katanya.

Terdahulu, Abdul Yunus tiba di pekarangan IPD Kerian di sini pada jam 10.20 pagi bersama lebih 30 penyokongnya terdiri ahli PKR cabang Parit Buntar dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau selesai membuat laporan polis pada jam 11.20 pagi ditemani pegawai khasnya, Ahmad Adenan Said.

Semalam, Yong Kean membuat laporan polis dan mendakwa seorang Exco Perak membocorkan kertas minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat berkaitan pertanian.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco bocor minit mesyuarat demi habuan

Menurutnya, perkara itu berlaku selepas ahli Exco berkenaan bersetuju untuk menyokong permohonan pemilikan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar kepada dua buah syarikat berkenaan.