Exco bocor minit mesyuarat demi habuan

Yong Kean (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap seorang Exco Perak di pekarangan Balai Polis Pusat hari ini.
Yong Kean (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap seorang Exco Perak di pekarangan Balai Polis Pusat hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang Exco Perak didakwa membocorkan kertas minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat berkaitan pertanian.

Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu bertujuan memulakan rundingan bagi mendapatkan komisen dalam menyokong permohonan tanah seluas lebih 36 hektar.

"Tujuan exco terbabit adalah untuk memulakan rundingan, meminta komisen untuk menyokong permohonan tanah pertanian berkenaan daripada dua syarikat tersebut.

"Perkara ini dikesan sejak tahun lalu. Kita mempunyai -bukti dan saksi berkaitan yang akan diserahkan kepada polis," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Pusat di sini hari ini.

Menurutnya, perkara itu menyalahi Akta Rahsia selain menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah.

"Sebagai wakil rakyat dan Exco, tidak seharusnya membocorkan rahsia kerajaan untuk meminta rasuah. Diharapkan pihak polis dapat menyiasat secara adil tanpa melihat kedudukan beliau dalam kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan menerima laporan terbabit namun laporan tersebut akan dirujuk ke Kuala Kurau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Artikel Berkaitan: