Akta Hasutan 1948 masih relevan

Ahmad Fuzi (tiga dari kiri) bersama ahli Putra Johor menujukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat semalam.
Ahmad Fuzi (tiga dari kiri) bersama ahli Putra Johor menujukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Johor menolak cadangan kerajaan mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Fuzi Ab Kahar berkata, pelaksanaan undang-undang di bawah akta berkenaan masih relevan terutama dalam mengawal hak kebebasan bersuara di Malaysia.

Menurutnya, Putra mengakui Akta Hasutan kali terakhir digubal adalah sebelum merdeka, namun ia tidak menjadikannya lapuk dek zaman.

"Sebagai contoh, kanun keseksaan yang menjadi statut utama dalam pendakwaan kes-kes jenayah telah digubal pada tahun 1936 iaitu 12 tahun sebelum Akta Hasutan digubal.

“Jika sesiapa mempersoalkan isu lapuk Akta Hasutan semata-mata kerana tahun 1948, mengapa mereka tidak menghujahkan isu lapuknya kanun keseksaan.

"Relevan atau tidak sesuatu akta itu dengan keadaan semasa adalah bergantung kepada proses pindaan undang-undang itu sendiri yang perlu diselaraskan sesuai dengan tuntutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, semalam Ahmad Fuzi juga sudah membuat laporan polis untuk menggesa siasatan dilakukan sekiranya cadangan yang dikemukakan kerajaan ini mempunyai unsur jenayah atau kepentingan pihak tertentu.

Beliau berkata, Akta Hasutan juga bukanlah undang-undang biasa yang boleh dibuang hanya dengan majoriti mudah di Parlimen memandangkan ia mempunyai peranan dan kedudukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Putra mengimbau fasa pindaan Akta Hasutan tahun 1971, selepas kesan tragedi 13 Mei 1969 yang menyebabkan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk memasukkan Perkara 10(4) iaitu Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara berhubung hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan, prerogatif ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III (Kewarganegaraan), Perkara 152 (Bahasa Melayu), 153 (perizaban kuota untuk Melayu dan Anak Negeri) atau 181 (kedaulatan raja-raja).

“Asas perlembagaan ini Akta Hasutan 1948 dipinda dengan menambah Seksyen 3(1)(f) kepada Akta Hasutan yang memperuntukkan sesuatu kecenderungan menghasut ialah kecenderungan bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan, dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, katanya, merujuk perlembagaan, sebarang undang-undang diluluskan di bawah peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 kepada fasal ini tidak boleh diluluskan tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemansuhan akta berkenaan amat tidak wajar sekiranya tindakan sedemikian hanya diambil disebabkan penahanan seorang aktivis bebas yang lantang mengkritik institusi Diraja.

“Sebenarnya, cadangan minoriti rakyat untuk memansuhkan Akta Hasutan ini telah kedengaran sejak tahun 2012 lagi namun kerajaan terdahulu akur dengan desakan majoriti rakyat untuk hanya meminda Akta Hasutan 1948 pada tahun 2015 bukan memansuhkannya.

“Kali ini selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan bersalah terhadap aktivis PH, Wan Ji Wan Husin dan menambah hukuman penjara selama satu tahun, desakan untuk memansuhkan Akta Hasutan kembali dicanang,” katanya.