Siasatan gangguan kesihatan di Pasir Gudang masih dijalankan

Isnaraissah Munirah Majilis
Isnaraissah Munirah Majilis
A
A
A

KOTA KINABALU - Siasatan berhubung insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang terutama dalam kalangan pelajar sekolah yang sehingga kini belum diketahui puncanya masih dijalankan, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Menjelaskan perkara itu, Isnaraissah Munirah berkata, insiden di Pasir Gudang berbeza dengan situasi pencemaran Sungai Kim-Kim yang diketahui puncanya akibat pencemaran sisa kimia di sungai itu.

“Di Pasir Gudang kita hanya nampak kesan tetapi puncanya masih belum diketahui, sebab itu kementerian terus menyiasat punca insiden itu berlaku di samping sentiasa menjalankan bacaan kualiti udara di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Bioteknologi kali ke-6 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan lagi kilang di Pasir Gudang diperiksa

Isnaraissah Munirah berkata setakat ini keadaan di Pasir Gudang terkawal dan tiada pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding di Sungai Kim-Kim sebelum ini.

Sementara itu dalam ucapannya, tema bagi simposium iaitu "Bioteknologi dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)" sangat sejajar dan relevan dengan perkembangan di Malaysia.

Beliau berkata, penunjuk SDG Malaysia meliputi 17 matlamat, 169 sasaran dan 244 indikator untuk mengukur pencapaian pembangunan sejagat yang terdiri daripada aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamarudin D Mudin, dalam ucapannya berkata, peserta simposium itu yang terdiri daripada pelbagai kepakaran dalam bioteknologi seperti mikrobiologi molekul, bioproses, biomedik, budaya tisu, genetik dan genomik mampu mengemukakan cadangan bagi program lestari yang memenuhi matlamat pembangunan mampan global.

Artikel Berkaitan:

"Oleh kerana matlamat pembangunan mampan tidak tertumpu di Malaysia sahaja, kita menjangkakan teknologi dan penemuan baru yang boleh diterjemahkan untuk menangani isu-isu global menerusi aplikasi, inovasi atau proses pengkomersilan," tambah beliau.

Ucapan beliau dibacakan oleh oleh Penolong Naib Censelor UMS, Prof Dr Marcus Jopony.

Simposium dua hari itu dihadiri oleh 109 peserta dari 32 organisasi dan agensi dari Malaysia, Indonesia, Australia dan United Kingdom. - Bernama