Jangan ambil mudah keselamatan murid

Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan ekspo selama empat hari berakhir hari ini.
Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan ekspo selama empat hari berakhir hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pihak sekolah, penganjur program, mahupun pengurusan bas diingatkan supaya tidak sesekali mengambil mudah mengenai aspek keselamatan apatah lagi melibatkan nyawa seseorang.

Itu peringatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, ekoran insiden maut melibatkan seorang murid tahun enam maut selepas terjatuh dari lantai bas reput Khamis lalu.

Mohamed Fadzli berkata, biarpun kecelakaan mahupun sesuatu tragedi berlaku di luar jangkaan namun ciri-ciri keselamatan perlu diberikan keutamaan termasuklah kondisi pengangkutan yang digunakan.

“Jangan biarkan murid keluar dari sekolah mahupun ke luar daerah tanpa pengawasan pihak sekolah.

“Pengusaha bas sendiri juga perlu pastikan soal keselamatan. Mereka kena pastikan semua berada dalam keadaan selamat. Sebab kita tidak boleh jangka tindakan budak-budak di dalam bas,” katanya kepada media hari ini.

Khamis lalu, murid Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Wan Muhammed Adam Mohd Suria maut digilis selepas terjatuh dari lantai bas berlubang pada jam 12.50 tengah hari di Kampung Kandis, Pasir Puteh.

Murid tahun enam tersebut dikatakan bersama 30 rakan-rakan satu sekolah yang lain dalam perjalanan ke Bukit Kluang, Terengganu bagi mengikuti bengkel bahasa Inggeris.

Terdahulu Mohamed Fadzli menghadiri majlis penutup Ekspo Digital Antarabangsa Kelantan 2019 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Artikel Berkaitan:

Ahmad mencuba mengendalikan alat kawalan dron dan juga teknologi canggih yang dibangunkan syarikat Aerodyne Group pada ekspo tersebut hari ini.
Ahmad mencuba mengendalikan alat kawalan dron dan juga teknologi canggih yang dibangunkan syarikat Aerodyne Group pada ekspo tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Fadzli tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam isu tersebut sebaliknya semua perlu mengambil iktibar daripada kejadian terbabit.

“Siapa mahu bertanggungjawab, kalau di rumah boleh meletak kesalahan kepada ibu bapa. Kalau di sekolah guru-guru, tetapi kalau di luar siapa perlu bertanggungjawab.

“Saya juga mengucapkan takziah kepada keluarga...(Jika usia bas melebihi 20 tahun) menjadi isu, kita tidak boleh menjadikannya sebagai alasan sehingga menggadaikan keselamatan pelajar,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai ekspo tersebut, Mohamed Fadzli berkata, ia dianjurkan sebagai aspirasi kerajaan supaya warga Kelantan lebih peka terhadap perkembangan semasa dalam bidang sains dan teknologi.

“Ia termasuk juga bidang ekonomi digital yang semakin berkembang pada masa sekarang dan juga menyahut hasrat kerajaan untuk menjadikan Kelantan sebagai negeri digital,” katanya.

Ekspo yang menarik minat 20,000 pengunjung kali ini juga turut melibatkan penyertaan syarikat Aerodyne Group yang tersenarai dalam sepuluh carta teratas bagi pembekal servis dron di dunia.