Selangor diingatkan jangan pandang mudah PDRM

Selangor dijangka terlepas khidmat Brendan yang masih cergas apabila berdepan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.
Selangor dijangka terlepas khidmat Brendan yang masih cergas apabila berdepan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

STATUS PDRM FC bukan tiket untuk Selangor FC mengambil mudah apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.

Sebaliknya pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe mengingatkan para pemain The Red Giants bahawa The Cops kendalian, Azzmi Ab Aziz mula mempamerkan peningkatan dalam perlawanan terakhir sebelum ini.

Malah Cheng Hoe juga percaya The Cops sama seperti The Red Giants menyasarkan menamatkan pusingan pertama Liga Super di kedudukan terbaik.

Tambahnya, prestasi semasa PDRM juga dalam perlawanan terakhir juga baik apabila melakar kemenangan 4-1 ke atas Kelantan FC di Kota Bharu pada 23 Mei lalu.

“Ini juga menunjukkan bahawa The Cops mampu menyaingi pasukan lain dalam saingan Liga Super, dan seharusnya Selangor perlu lebih berwaspada.

“PDRM memiliki jentera serangan berkualiti yang dipacu semangat juang tinggi, dan akan bermain hingga minit terakhir perlawanan.

“Selain itu, bahagian pertahanan PDRM juga cukup kental dan berdisiplin apabila bertahan yang kedua-dua ini cabaran buat Selangor,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Selangor kini di kedudukan kedua dengan 28 mata hasil sembilan menang, satu seri dan dua tewas manakala PDRM pula ke-10 dengan 13 mata - empat menang, satu seri, tujuh tewas - selepas 12 perlawanan.

Pada masa sama Cheng Hoe mengakui taktikal disiplin skuad kendalian Azzmi tersebut cukup tinggi antara kelebihan dimiliki PDRM pada musim ini.

Katanya, kejayaan PDRM mengejutkan Kedah Darul Aman FC, 1-0 di Stadium Darul Aman pada 4 Mac lalu membuktikan keupayaan pasukan itu.

“Saya boleh katakan PDRM sebagai team got nothing to lose terutama menerusi all out counter attack dalam mengharungi saingan Liga Super.

“Sejujurnya taktikal PDRM ini juga peringatan kepada para pemain pasukan lawan untuk memberikan sepenuh tumpuan sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil,” katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe memaklumkan Brendan Gan yang masih belum cergas berkemungkinan tidak diturunkan termasuk pemain import Richmond Ankrah dan Alex Agyarkwa.