Buat apa ada saham dalam syarikat tidak mesra UMNO: Najib

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Parlimen. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut baik langkah menjual 11.09 peratus kepentingan dalam syarikat Media Prima Bhd kepada Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary.

Enggan mengulas lanjut, Najib berkata, saham minoriti UMNO dalam syarikat itu tidak lagi memberikan sebarang makna memandangkan Media Prima tidak lagi mesra kepada parti Melayu itu.

"UMNO perlu buat... Media Prima dah tak lagi dikawal UMNO.

"Kalau kita ada saham minoriti pun tak ada makna juga, New Straits Times Press (NSTP) tidak mesra dengan kita juga lagi," kata Najib, ketika media ditemui di Parlimen, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO kunci mulut isu jual saham kepada Syed Mokhtar

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dilihat mengunci mulut apabila enggan mendedahkan status penjualan saham syarikat Media Prima Bhd sebanyak 11.09 peratus dengan nilai RM73.81 juta kepada tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary.

Menurutnya, pada masa ini UMNO dalam usaha membuat penstrukturan semula portfolio-portfolio pelaburan parti demi masa depan yang lebih cerah.

“Banyak yang dilakukan dengan pelaburan kami, tapi saya tak boleh berikan komen, ianya sulit. Terpulang kepada mereka yang diberikan tugasan untuk tindakan susulan.

“Pelaburan portfolio adalah urusan dalaman sulit dan melibatkan pemegang saham lain, kami terikat dengan peraturan dan tidak boleh buat kenyataan umum tanpa keperluan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Najib menyambut baik kepulangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali menerajui parti itu.

"UMNO memerlukan pemimpin-pemimpin yang banyak pengalaman dan kewibawaan dan Ahmad Zahid daripada segi kemampuan boleh mengukuhkan UMNO dan boleh memberi kepimpinan yang diperlukan untuk terus mantapkan UMNO.

"Sebab tu saya sokong Ahmad Zahid kembali bertugas sebagai presiden parti, saya yakin dengan kewibawaan beliau," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan MT baharu untuk perkukuh Presiden UMNO: Penganalisis