UMNO kunci mulut isu jual saham kepada Syed Mokhtar

Ahli Parlimen Keterah, Tan Sri Annuar Musa ditemui media di Parlimen. - FOTO ROSLI TALIB
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dilihat mengunci mulut apabila enggan mendedahkan status penjualan saham syarikat Media Prima Bhd sebanyak 11.09 peratus dengan nilai RM73.81 juta kepada tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary.

Menurutnya, pada masa ini UMNO dalam usaha membuat penstrukturan semula portfolio-portfolio pelaburan parti demi masa depan yang lebih cerah.

“Banyak yang dilakukan dengan pelaburan kami, tapi saya tak boleh berikan komen, ianya sulit. Terpulang kepada mereka yang diberikan tugasan untuk tindakan susulan.

“Pelaburan portfolio adalah urusan dalaman sulit dan melibatkan pemegang saham lain, kami terikat dengan peraturan dan tidak boleh buat kenyataan umum tanpa keperluan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: DRB-HICOM nafi beli saham Media Prima

Semalam, saham Media Prima Bhd merosot setengah sen kepada 48 sen pada tengah hari susulan laporan bahawa UMNO menjual 11.09 peratus kepentingannya dalam syarikat itu kepada jutawan, Syed Mokhtar.

Saham kumpulan media terbesar di Malaysia itu dibuka 1.5 sen lebih tinggi kepada 50 sen pada 9 pagi. Pada tengah hari, 1.45 juta saham bertukar tangan.

Terdahulu, sebuah portal berita The Edge Financial Daily yang melaporkan Media Prima menyaksikan 123.02 juta saham, bersamaan 11.09 peratus daripada modal terbitan kumpulan itu sebanyak 1.11 bilion saham berpindah tangan tanpa melalui bursa, semalam.

"Berdasarkan data Bloomberg, transaksi saham itu membabitkan satu blok, bernilai RM73.81 juta," menurut laporan itu.