Sisa toksik bawah tanah disyaki punca pencemaran Pasir Gudang

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pembuangan sisa toksik bawah tanah sejak bertahun-tahun lamanya disyaki menjadi punca pencemaran udara di kawasan Pasir Gudang.

Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, terdapat kemungkinan saluran air bawah tanah di kawasan Pasir Gudang telah tepu dengan bahan toksik.

Jelas beliau, sisa toksik tersebut telah meresap daripada bawah tanah dan meruap ke permukaan sehingga membentuk gas toksik dan tersebar ke seluruh kawasan berhampiran.

"Pelupusan bahan kimia toksik di Sungai Kim Kim tidak menjadi satu daripada sumber yang mengakibatkan pelepasan gas toksik kerana gas itu masih terdapat di situ walaupun Sungai Kim Kim sudah dibersihkan.

"Saya mengesyaki sisa kimia telah dilupuskan di bawah tanah di seluruh kawasan Pasir Gudang selama bertahun-tahun lamanya," katanya menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Wan Ramli berkata, beliau telah menjalankan menjalankan Penilaian Risiko Kuantitatif (QRA) untuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada kilang dan loji kimia terbesar yang dicadangkan untuk dibina di kawasan perindustrian Pasir Gudang pada tahun 1980-an.

QRA ialah penilaian kejuruteraan terhadap risiko kematian kepada pekerja dalam kawasan kilang dan orang awam di luar kawasan kilang berikutan daripada kebakaran cecair yang besar, letupan gas dan kebakaran serta keracunan toksik yang berlaku ketika pelepasan cecair toksik daripada proses kimia semasa beroperasi dan penyimpanan bahan kimia.

"Kawasan perindustrian Pasir Gudang sebenarnya adalah untuk kawasan industri ringan dan sederhana sahaja tetapi disebabkan kekurangan penyewa menyebabkan kerajaan negeri pada waktu itu menawarkan kawasan tersebut kepada industri berat seperti loji kimia terbesar yang dicadangkan untuk dibina di situ.

Artikel Berkaitan:

"Loji kimia itu tetap dibina walaupun laporan QRA saya menunjukkan jika terdapat pelepasan toksik berat secara tidak sengaja atau pelepasan gas yang boleh memberi kesan kepada kawasan penduduk berhampiran.

"Pemilik kilang telah membayar kami tetapi kemudian mengambil khidmat Perunding QRA yang lain untuk menunjukkan kawasan penduduk tidak terjejas jika terdapat sebarang kemalangan melibatkan pelepasan bahan kimia.

"Seperti yang mereka kata, selepas itu sudah menjadi satu sejarah. Sejak itu, berlaku pertambahan jumlah kilang dan loji kimia di seluruh Pasir Gudang," dedah beliau.

Menurut Wan Ramli, tindakan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk mengharamkan kilang dan loji kimia disifatkan sudah terlambat dan tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Cara untuk menghentikan insiden gas kimia beracun ini terus berlaku ialah dengan mengarahkan penutupan sementara operasi loji dan kilang di Pasir Gudang oleh kerajaan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

"JAS dan DOSH perlu melakukan pemeriksaan terhadap rekod pelupusan buangan kimia untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap pelepasan gas bertoksik," ujar beliau.

Selain itu, kedua-dua agensi itu perlu mengambil ujian sampel bawah tanah dan air di kawasan yang mempunyai kepekatan gas toksik yang tinggi bagi memastikan sama ada bahan kimia telah dibuang di bawah tanah.

"Kajian ini dapat menentukan sama kejadian yang berulang daripada resapan dan ruapan daripada pembuangan bahan kimia bawah tanah," jelas beliau yang merupakan bekas perunding QRA untuk minyak dan gas serta industri petrokimia.