Piala FA 2019: Penyokong Perak ramal aksi epik berulang

Pemain Perak, Firdaus Saiyyadi cuba melepasi kawalan pertahanan Pahang, Mohd Faizal Rosli pada aksi separuh akhir Shopee Piala FA 2019 di Stadium Perak 29 Jun lalu.- Foto: Perak FA
Pemain Perak, Firdaus Saiyyadi cuba melepasi kawalan pertahanan Pahang, Mohd Faizal Rosli pada aksi separuh akhir Shopee Piala FA 2019 di Stadium Perak 29 Jun lalu.- Foto: Perak FA
A
A
A
PENYOKONG Perak meramalkan aksi epik bakal berulang pada final Shopee Piala FA 2019 apabila skuad The Bos Gaurus itu berdepan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil 27 Julai ini.

Krew yob4ever.com Ahmad Zaimy Mohd Yatim berkata, pihaknya meramalkan sedemikian berdasarkan kepada prestasi semasa kesebelasan skuad Kejor Yeop Skor itu yang dilihat cukup bersemangat.

Malah menurutnya, gelaran ‘Raja Kebangkitan’ (King Of Comeback) yang dilabel peminat bola sepak tempatan kepada skuad Seladang itu pastinya menyemarakkan lagi semangat kesebelasan pemain menjelang aksi final berkenaan.

“Peluang sangat seimbang bagi pertemuan kali ini dan jika pemain bebas daripada kecederaan serta penggantungan, rasanya satu lagi final epik akan berlaku.

“Selain itu imbuhan sebanyak RM150,000 daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan menyemarakkan lagi semangat pemain.

“Kami dari www.yob4ever mendoakan kejayaan pasukan Perak. Comeback is real!” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu seorang lagi krew yob4ever.com Muhamamd Nurazam Ab Rahman menyifatkan aksi final kali ini bakal menjanjikan aksi sengit dan sukar buat kedua-kedua pasukan.

Katanya, hanya perancangan ketua jurulatih kedua-dua pasukan dilihat bakal menentukan pasukan mana yang layak ditabalkan selaku juara kali ini.

“Sudah lama Perak tidak bertemu musuh utara iaitu Kedah di peringkat final seperti ini dan sekali gus mengimbau nostalgia kerana Perak sentiasa sukar untuk menewaskan Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kali ini Perak mempunyai skuad yang mantap manakala Kedah juga adalah pasukan yang konsisten dengan pemain yang serba lengkap di setiap posisi.

“Apa pun secara keseluruhannya, saya menilai final kali ini sebagai perlawanan yang sukar buat kedua pasukan tetapi saya yakin Piala FA bakal kembali semula ke bumi Perak, Insya-ALLAH,” katanya.