Piala Malaysia: Sabah jumpa Perak di suku akhir

Rizal (tiga, kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika Sabah menentang Kuching City pada aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Likas pada Sabtu.
Rizal (tiga, kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika Sabah menentang Kuching City pada aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Likas pada Sabtu.
A
A
A

NAIB juara tiga kali, Sabah FC mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia setelah mengalahkan kelab tetangga Kepulauan Borneo, Kuching City FC dengan agregat 4-1 pada Sabtu.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee tampil melayan kunjungan angkatan Aidil Sharin Sahak berbekalkan kemenangan selesa 3-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Stadium Negeri, Kuching pada 5 Ogos lalu.

The Rhinos bermula garang apabila Rizal Ghazali menerusi gol pada minit ke-27 meletakkan pasukan tuan rumah memimpin separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Sabah mengendurkan asakan menyaksikan Kuching City kembali tampil agresif mengasak benteng pasukan tuan rumah.

Gol penyamaan dicari The Cats akhirnya dijelmakan menerusi sentuhan Rames Lai ada minit ke-58 untuk mengikat The Rhinos 1-1.

Keputusan itu menyaksikan Sabah akan berdepan Perak FC di suku akhir, manakala Kuching City berdepan Kedah Darul Aman FC dalam saingan Challenge Cup.

Sebagai rekod Sabah pernah mara ke pentas perlawanan akhir sebanyak tiga kali bermula edisi 1996 tewas kepada Selangor, 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat tanpa jaringan di Stadium Shah Alam.

Edisi 2002, Sabah tewas sekali lagi kepada Selangor, 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel Berkaitan:

Sabah sekali lagi mara ke perlawanan akhir tahun berikutnya, namun sekali lagi dikecewakan kali ini oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.