12 Ahli Parlimen kerajaan belum isytiharkan harta

Carta pai menunjukkan peratus Ahli Parlimen yang telah mengisytiharkan harta. - Foto https://mydeclaration.sprm.gov.my
A
A

SHAH ALAM - Seramai 12 Ahli Parlimen kerajaan masih belum mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hasil semakan Sinar Harian di laman sesawang https://mydeclaration.sprm.gov.my, kesemua individu tersebut ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Turut tersenarai Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abd Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat lulus usul isytihar harta

Semalam, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.

Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Berdasarkan usul itu, semua Ahli Parlimen, perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Senarai nama Ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta sahaja yang akan dipaparkan di portal berkenaan selama tempoh tiga bulan daripada tarikh penerimaan Akuan Berkanun oleh SPRM.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Jika Ahli Parlimen didapati membuat perakuan tidak benar, individu itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.