Peluang rakyat Malaysia selami pelbagai budaya menarik

Mauricio Gonzalez Lopez
Mauricio Gonzalez Lopez
A
A
A

KUALA LUMPUR - Acara dan pertukaran budaya memainkan peranan penting dalam membangun hubungan rapat antara negara Amerika Latin dan Malaysia, kata Duta Colombia ke Malaysia, Mauricio Gonzalez Lopez.

Beliau berkata, Festival Amerika Latin yang memasuki tahun ke-11, menjadi platform membolehkan rakyat Malaysia mempelajari lebih lanjut mengenai Kumpulan Negara Amerika Latin dan Caribbean (GRULAC).

"Kami ingin berkongsi pengalaman sepanjang penganjuran festival Amerika Latin dengan orang Malaysia yang selama ini memberikan sambutan mengalakkan. Budaya Amerika Latin kelihatan berbeza, mungkin eksotik; tetapi pada asasnya kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan. Ia telah dibuktikan sejak 11 tahun lalu.

"Acara kebudayaan tahunan seperti ini adalah peluang baik untuk hubungan persahabatan dan membawa budaya Amerika Latin lebih dekat dengan rakyat Malaysia," kata Lopez, mewakili GRULAC, semasa berucap pada Festival Amerika Latin ke-11 di Bukit Bintang Park, di sini Ahad.

Ia anjuran bersama Kedutaan Argentina, Brazil, Colombia, Cuba, Ecuador, Mexico dan Peru.

Acara kebudayaan bertemakan "Malaysia Meets Latino America" itu mempamerkan kepelbagaian budaya menarik dan dihadiri kira-kira 6,000 pengunjung. - Bernama

Artikel Berkaitan: