Pas, UMNO dicabar bergabung urus tadbir negeri

Azan Ismail
Azan Ismail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - PKR Terengganu mencabar dua parti terbesar Melayu, Pas dan UMNO bergabung dalam urusan pentadbiran negeri sebagai terjemahan kepada kerjasama yang diputuskan oleh dua parti itu.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, ia bagi membuktikan keikhlasan jalinan kerjasama yang dilaksanakan antara dua parti itu serta sebagai bukti ia bukan bersifat retorik atau ‘senda politik’ semata mata.

“Cadangan kerjasama UMNO/BN dan Pas pasca PRU14 telah sampai ke kemuncak dengan ada persetujuan di peringkat tertinggi kedua-dua parti melalui pimpinan dan muktamar serta mesyuarat agung masing-masing.

“Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di negara ini, saya mencabar kedua dua pimpinan parti itu melaksanakan tindakan menggabungkan urusan pentadbiran di empat buah negeri yang diperintah oleh UMNO/BN dan Pas,” katanya pada sidang media di Dewan Besar PKR Terengganu, di sini hari ini.

Menyifatkan pelbagai tanggapan oleh pihak yang kritis terhadap perkembangan itu, Azan berkata, langkah itu sebagai bukti nyata yang ditunggu rakyat terutama pengundi di empat buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis.

“Di Terengganu, Pas harus menyerahkan tiga jawatan Exco Kerajaan negeri kepada UMNO/BN sesuai dengan kedudukan UMNO yang menguasai 10 daripada 32 kerusi DUN (31 peratus).

“Bagi Kelantan yang masing-masing mempunyai 10 jawatan Exco Kerajaan negeri, Pas perlu mencerminkan kerjasama untuk melantik dua orang ADUN UMNO/BN sesuai dengan kekuatan UMNO/BN yang menguasai lapan daripada 45 kerusi DUN (18 peratus).

“Begitu juga kedudukan bagi negeri Pahang dan Perlis, yang masing-masing mempunyai 10 dan lapan jawatan Exco Kerajaan Negeri, UMNO/BN harus melantik ADUN Pas seramai dua orang di Pahang dan tiga orang di Perlis sesuai dengan penguasaan tujuh daripada 42 kerusi DUN Pahang (18 peratus) dan dua daripada 15 kerusi DUN Perlis (12 peratus),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerjasama yang bakal diterjemahkan itu dilihat seimbang di mana UMNO/BN menyerahkan lima kerusi di negeri yang dikuasainya sementara Pas pula menyerahkan lima kerusi Exco berdasarkan peratusan penguasaan di negeri tersebut.

“Pembahagian kerusi yang seimbang ini dilihat sebagai terjemahan peringkat pertama kerjasama yang lebih serius dalam membentuk pentadbiran.

“Kegagalan melaksanakan pembahagian kerusi itu menunjukkan kedua-dua parti itu bukan hanya sekadar ‘bersandiwara’ kepada penyokong masing-masing, malah kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Dewan Ulama Pas Pusat secara rasmi menzahirkan sokongan terhadap kerjasama atau taawun siyasi parti itu bersama UMNO, atas landasan mengukuhkan perjuangan Islam di negara ini.

Pendirian itu dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed sempena Muktamar Dewan Ulama ke-58, 20 Jun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul taawun siyasi Pas,UMNO diluluskan