Pembantu tadbir UTeM didakwa

Norazhar (kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini.
Norazhar (kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pembantu tadbir Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 15 pertuduhan menawarkan bekalan barangan dan perkhidmatan tidak wujud sejak dua tahun lalu.

Norazhar Mohamed, 41, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Zaridah Y. Abdul Jaapar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdaya Shaari Ibrahim, 52, untuk 46 surat setuju terima pembekalan barangan serta perkhidmatan di UTeM, Durian Tunggal yang tidak wujud sehingga mendorong lelaki tersebut memasukkan sejumlah wang yang keseluruhan RM150,736 ke akaun CIMB milik tertuduh.

Tindakan itu dilakukan tertuduh antara 30 November 2017 sehingga 8 Mac 2018 di CIMB di sekitar Melaka Tengah.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Arthana mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga termasuk anak yang masih bersekolah selain terpaksa menjaga bapa.

Setelah mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi kesemua 15 pertuduhan dan menetapkan tarikh 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: