Projek naik taraf bekalan air di Kedah tidak tergendala - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Projek menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini tidak tergendala seperti didakwa beberapa pihak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesemua LRA yang sedang dinaik taraf berjalan lancar dan mengikut kemajuan yang ditetapkan.

Menurutnya, dakwaan yang mengatakan berlaku kelewatan 10 peratus dalam pembinaan LRA adalah tidak benar dan sengaja dibangkitkan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri.

“Tak lewat, mana mereka tahu jangan buat tuduhan melulu, semuanya mengikut perancangan dan saya diberikan taklimat berhubung perkara ini setiap minggu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Mereka dapat taklimat daripada siapa? Jangan redah saja semata-mata mahu timbulkan persepsi buruk,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon pada Khamis.

LRA Pelubang antara lima LRA di Kedah yang dinaik taraf termasuk LRA Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar.

Sebelum ini, pimpinan Pakatan Harapan (PH) mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah kepimpinan Muhammad Sanusi gagal menyelesaikan isu bekalan air disebabkan tidak mempunyai pelan jangka sederhana mahupun pelan jangka pendek sehingga masalah tersebut berulang sekali lagi pada musim perayaan, berikutan kepulangan beramai-ramai perantau ke kampung halaman.

Antara kawasan gangguan bekalan air paling teruk terjejas di daerah Kuala Muda terutama sekitar Tanjung Dawai, Bedong, Merbok dan Sungai Petani, selain Kuala Kedah di daerah Kota Setar.

Turut mengalami masalah sama adalah penduduk sekitar daerah Pendang, Kulim, Yan, Baling dan Sik.

Muhammad Sanusi (kanan) melayan tetamu yang hadir untuk berswafoto sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon.
Muhammad Sanusi (kanan) melayan tetamu yang hadir untuk berswafoto sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon.

Muhammad Sanusi tegaskan, beliau akan segera menyelesaikan masalah bekalan air bersih kepada penduduk walaupun permasalahan itu diwarisi daripada kerajaan PH terdahulu.

“Saya mewarisi masalah ini daripada kerajaan PH, ketika mereka perintah pun tak jadi apa. Malah mereka tangguhkan pelaksanaan projek LRA selama dua tahun untuk buat kajian harga. Namun selepas selesai kajian, konsultan tetap keluarkan penilaian harga yang sama dan keperluan lima LRA tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, selepas mengambil alih pentadbiran pada 2020, urusan sedikit kelewatan susulan berlaku pandemik Covid-19.

“Saya cuba buat secepat mungkin, walaupun kita berdepan halangan dua tahun disebabkan Covid-19, banyak program terpaksa dihentikan termasuk pengeluaran bahan binaan yang tidak dikategorikan barangan keperluan. Kita perlu tunggu pesanan menyebabkan ia lewat,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan pembinaan mini loji air di kawasan kritikal sementara menunggu LRA siap sepenuhnya, Muhammad Sanusi menyifatkan cadangan tersebut tidak praktikal.

“Kos bina mini loji air RM13 juta, memang ada pihak tampil kemukakan cadangan ini namun saya tolak. Bila LRA siap kelak, mana nak letak mini loji pula? Kos RM13 juta bukan murah, boleh buat benda lain.

“Kita sudah ada LRA yang lebih besar untuk tangani krisis bekalan air, tak perlukan mini loji cuma perlu kepada mini kesabaran, sabar sat. Saya tahu lama dah sabar masa zaman PH dua tahun. Zaman saya sabar tiga tahun cuma kehadiran Covid-19 menyebabkan dua tahun terbiar, hanya setahun saya dapat buat kerja,” jelasnya.