Cuaca panas tidak jejaskan bekalan barangan keperluan: Salahuddin

Salahuddin menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada penerima ketika melancarkan Inisiatif Payung Rahmah di sebuah pasar raya di Sungai Lalang, Kedah pada Isnin.
Salahuddin menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada penerima ketika melancarkan Inisiatif Payung Rahmah di sebuah pasar raya di Sungai Lalang, Kedah pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yakin bahawa cuaca panas ketika ini tidak akan menjejaskan bekalan barangan keperluan harian di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan, bekalan keperluan rakyat setakat ini masih terkawal biarpun kini negara sedang menghadapi cuaca panas, namun pemantauan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

"Setakat ini tak ada (berlaku kekurangan bekalan), masih lagi dalam kawalan, yang lain tidak berlaku," katanya ketika melancarkan Inisiatif Payung Rahmah di sebuah pasar raya di Sungai Lalang, Kedah pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan mengenai kekurangan bekalan gula dan air mineral di Kedah.

"Di Kedah, saya difahamkan tidak ada isu kekurangan gula dan air mineral, jadi saya harap perkara ini dapat dikekalkan," katanya.

Jelas Salahudin, KPDN akan bertindak lebih proaktif dalam usaha memastikan bekalan gula kekal di pasaran pada masa depan.

"Kita membuat perancangan awal dan libat urus yang lebih kerap supaya tidak berlaku krisis bekalan gula dalam negara.

"Kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan masalah bekalan dapat diatasi sekiranya berulang,"katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan rata-rata penduduk di sekitar Kota Bharu, Kelantan dapat menarik nafas lega apabila bekalan gula yang terputus sejak minggu lalu, kini kembali pulih.

Dalam majlis sama, seramai 50 Bakul Rahmah disumbangkan kepada golongan memerlukan merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan susu pekat bernilai RM100.