Bilik sensori mampu kembang minda anak OKU

Kemudahan bilik sensori yang terdapat di Persatuan Penjagaan Kanak kanak Terencat Akal Johor Bahru di Saleng.
Kemudahan bilik sensori yang terdapat di Persatuan Penjagaan Kanak kanak Terencat Akal Johor Bahru di Saleng.
A
A
A

KULAI - Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Johor Bahru di Saleng di sini, mewujudkan bilik sensori sebagai langkah membantu perkembangan minda penghuni terdiri daripada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Pengasas persatuan tersebut, V Rajamanikam berkata, bilik tersebut mula beroperasi sejak September lalu hasil tajaan beberapa syarikat serta golongan budiman.

Menurutnya, pelbagai kemudahan yang disediakan di bilik tersebut bagi membolehkan kumpulan kanak-kanak belajar sesuatu yang baru menerusi lima deria utama iaitu rasa, bau, hidu, lihat dan dengar.

"Ini berikutan pembelajaran menggunakan deria lebih mudah difahami dan lebih jelas jika deria dirangsang oleh medium tertentu.

"Dalam jangka panjang penggunaan bilik sensori setiap hari dapat membantu kanak-kanak ini mempelajari kemahiran-kemahiran penting seperti berjalan, bertutur, mengingati dan berinteraksi dengan orang lain.

"Ini kerana kita sedar bukan semua ibu bapa mampu menyediakan kemudahan selesa untuk anak-anak syurga ini dan diharap ia dapat membantu pengembangan minda mereka," katanya.

Rajamanikam berkata, antara peralatan yang terdapat di bilik sensori berkenaan adalah tiub gelembung, karpet dinding, projektor, aroma terapi dan muzik.

"Ia mampu memberi suatu pengalaman menarik bagi kanak-kanak istimewa ini dalam mengembangkan minda mereka dan setiap sesi terapi adalah selama 45 minit.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah pembelajaran seperti ini mampu menarik minat ibu bapa yang mempunyai anak-anak bermasalah dalam pembelajaran," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa gembira apabila anak mereka mula mengenali bentuk, rupa dan warna, malah kanak-kanak yang mempunyai masalah hilang fokus atau hiperaktif dapat mengawal situasi dan berasa lebih tenang.

"Misalnya segelintir kanak-kanak di sini gemar melukakan diri mereka sendiri dengan mencubit atau bertindak luar kawalan seperti menjerit dan berlari namun dengan persekitaran yang selesa, mereka lebih tenang.

"Kami menawarkan terapi secara percuma kepada para penghuni kami, manakala bayaran tertentu dikenakan ke atas pengunjung yang membawa anak dari luar bagi setiap sesi," katanya.