Ahmad Zahid tidak bersalah sehingga terbukti bersalah

Noraini Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak yang dijamin oleh perlembagaan dan prinsip asas undang-undang iaitu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya memberikan sokongan terhadap Ahmad Zahid yang sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.

"Ahmad Zahid mempunyai hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan hak-hak ini adalah selaras dengan prinsip asas undang-undang jenayah iaitu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah atau dalam bahasa Inggerisnya innocent until proven guilty," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, prinsip tersebut menjadi teras kepada sistem keadilan di seluruh dunia dan ia mesti terus disuburkan.

"Tidak kira sebesar mana pun kesalahan yang dituduh, seseorang itu perlu diberi ruang membela diri di mahkamah.

"Prinsip undang-undang ini terpakai pada setiap warga negara dan selaku bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid wajar diberi peluang untuk membuktikan beliau tidak bersalah melalui saluran undang undang," ujarnya.

Hari ini, Ahmad Zahid, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM42.76 juta berhubung Sistem Bersepadu Visa Luar Negara (VLN) antara 2014 hingga 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid nafi terima suapan RM42.76 juta

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berusia 66 itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Semalam, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan rasuah berhubung perkara sama berjumlah S$4.24 juta dan ini menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid melibatkan visa ialah 40 pertuduhan.

Daripada 33 pertuduhan hari ini, 26 pertuduhan terhadap Presiden UMNO adalah mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu sebagai Menteri Dalam Negeri, secara rasuah menerima suapan berjumlah S$9,320,000 daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai upah baginya, untuk mengekalkan kontrak Perjanjian Untuk Membekalkan Sistem VLN dan melanjutkan kontrak syarikat sama sebagai Pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Ahmad Zahid didakwa sebagai pegawai awam, mendapatkan bagi dirinya, barang berharga iaitu wang tunai dalam pelbagai mata wang iaitu RM3,125,000, S$1,150,000, €15,000, AS$15,000, tanpa balasan daripada syarikat sama, yang diketahuinya mempunyai hubungan rasmi dengannya.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu antara Oktober 2014 hingga Oktober 2017 di sebuah rumah di Country Heights Kajang.

Jika sabit kesalahan, Ahmad Zahid berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, bagi kesalahan Seksyen 16(a)(B) manakala bagi kesalahan Seksyen 165, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia