Kenal pasti lokasi pelancongan baharu di Kluang

Ismail (tengah) bersama Mohamad Syukri (kiri) dan Tan Sey Tai menunjukkan nanas MD2 di Ladang Nenas Golden Pine, Simpang Renggam.
Ismail (tengah) bersama Mohamad Syukri (kiri) dan Tan Sey Tai menunjukkan nanas MD2 di Ladang Nenas Golden Pine, Simpang Renggam.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Pejabat Daerah Kluang akan mengenal pasti lokasi-lokasi pelancongan baharu di daerah ini terutamanya produk berasaskan eko dan agro pelancongan yang terdapat di daerah ini agar dapat menjadi salah satu kawasan tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2020.

Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu berkata, usaha ini juga akan menarik lebih banyak pengunjung terutamanya dari luar untuk datang ke negeri Johor terutamanya ke daerah Kluang selain mengakui terdapat banyak lagi lokasi pelancongan di daerah ini yang belum diterokai dan berpotensi untuk diketengahkan.

"Hari ini kita ada jelajah bersama Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) bersama Tourism Johor untuk melihat tempat-tempat baharu yang berpotensi untuk tarikan pelancong dan bukannya lokasi-lokasi sedia ada yang telah matang dan dikenali.

"Seperti di Simpang Renggam ini, kita akan beri tumpuan kepada agro pelancongan seperti ladang jagung di Parit Ghani yang telah berjaya menarik kira-kira 55,380 pelancong setiap tahun untuk datang ke ladang mereka selain ladang nenas di Kampung Isnin Maarof dan inap desa di Kampung Ibrahim Majid," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media sewaktu Program Lawatan Tapak oleh Tourism Johor Ke Destinasi Pelancongan Di Daerah Kluang di Ladang Nenas Golden Pine di Kampung Isnin Maarof, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Tourism Johor, Mohamad Amirul Ady A Rahman; Yang Dipertua MDSR, Mohamad Syukri Abdul Rahim dan Pengarah Pemasaran Ladang Nenas Golden Pine, Tan Sey Tai.

Menurutnya, di Renggam pula akan dirangka pelan pelancongan berasaskan kesenian dan warisan selain bangunan-bangunan lama di kawasan berkenaan akan dihiasi dengan lukisan mural selain turut mendapat kerjasama daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dan Jabatan Landskap Negara (JLN).

"Seperti di kawasan lain pula iaitu di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kluang (MPK), kami akan memberi memberi tumpuan kepada eko pelancongan seperti Gunung Chemendong dan Gunung Gua Rimau berbanding Gunung Lambak dan Gunung Lumut yang telah sedia dikenali sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita juga akan menonjolkan kebudayaan orang asli iaitu di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang dan saya percaya bila kita ada kombinasi pelbagai produk, kita akan capai satu tahap yang baik sekaligus menepati sasaran sebanyak 8.4 juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Johor 2020 ini," katanya.

Pada masa sama, usaha menarik pelancong ke suatu kawasan yang baharu dibangunkan juga bukan satu perkara yang mudah dan usaha menyediakan kemudahan asas dan prasarana seperti tandas, jalan masuk dan tempat meletak kenderaan yang mencukupi juga harus diambil kira.

Menurutnya, beliau turut berharap usaha menjadikan daerah Kluang sebagai destinasi pelancongan akan mendapat sokongan semua pihak terutama penduduk di daerah ini kerana mereka merupakan golongan yang akan mendapat manfaat secara langsung hasil daripada kejayaan tersebut.