Edar dadah: Peniaga terselamat hukuman gantung

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang peniaga hari ini mampu menarik nafas lega apabila mahkamah tinggi di sini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ranjeev Singh Shayni, 35, di akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, Akhtar berkata, sememangnya terdapat kunci rumah di dalam beg silang tertuduh bagaimanapun dia bukan penyewa rumah yang terdapat dadah berkenaan.

“Menurut pemilik rumah tersebut, tertuduh bukan penyewa rumah itu dan penyewanya adalah lelaki berbangsa Cina, bagaimanapun penyewa rumah tersebut tidak hadir sebagai saksi dan dengan demikian terdapat jurang dalam kes pendakwaan,” katanya.

Mengikut pertuduhan Ranjeev didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 941.2 gram heroin dan monoacetylmorphines di kediaman beralamat Fiera Vista @ One Residence, Medan Rajawali,Bayan Lepas di sini pada jam 12.20 tengah hari pada 21 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar. - Bernama

Artikel Berkaitan: