Ayam Goreng MAD tersohor di Terengganu

Pelanggannya terdiri daripada semua lapisan masyarakat. (Gambar kecil: Kerangupan ayam goreng yang pastinya menggamit selera.)
Pelanggannya terdiri daripada semua lapisan masyarakat. (Gambar kecil: Kerangupan ayam goreng yang pastinya menggamit selera.)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Berbekalkan sebuah meja kecil dan gerai, siapa sangka perniagaan Ayam Goreng MAD yang diusahakan Ahmad Shah Yasin, 40, kini berkembang kepada sebuah restoran makanan segeranya sendiri.

Beroperasi di Kampung Masjid Haji Kadir di Pasir Panjang, Kuala Terengganu, perniagaan Ayam Goreng MAD bermula pada tahun 2013 hasil titik peluh Ahmad Shah dan isteri, Norhasniza Zuhari, 37.

Ahmad Shah berkata, dia mula mengambil keputusan untuk membuka gerai ayam goreng pada November 2013 setelah bapanya, Yasin Abu Bakar menghidap strok.

“Apabila ayah saya sakit, saya buat keputusan untuk berhenti. Pada peringkat awal, saya ambil cuti seminggu dan membuka gerai ayam goreng bersama isteri bagi melihat pasarannya.

“Dari lima ekor ayam sehari, ia mendapat sambutan dan bertambah dari ke hari. Saya kemudian nekad untuk terus berhenti kerja pada awal 2014 dan fokus kepada perniagaan ayam goreng kerana masanya lebih fleksibel, mudah untuk saya tumpukan perhatian pada ayah dan keluarga,” katanya.

Puyuh goreng antara menu istimewa Ayam Goreng MAD.
Puyuh goreng antara menu istimewa Ayam Goreng MAD.

Pada peringkat permulaan, gerainya di Pasir Panjang dibuka bermula jam 12 tengah hari sehingga 6 petang.

Namun, ramai kalangan pelanggannya yang meminta agar berniaga malam kerana mereka tiada alternatif lain untuk makan ayam goreng sebegitu pada waktu malam, kecuali ke restoran makanan segera.

Artikel Berkaitan:

Setelah dua tahun, dia mengambil keputusan untuk membuka restoran makanan segeranya sendiri, namun pada masa yang sama masih lagi mengekalkan gerai ayam gorengnya yang beroperasi pada waktu siang.

MAD hasil ilham rakan baik

Menurut Ahmad Shah, pemilihan nama MAD bukanlah singkatan kepada namanya, sebaliknya membawa maksud ‘Make A Different’ yang diberikan oleh kawan baiknya, Mook Tai Foong.

Rakan yang dikenali sewaktu sama-sama bekerja dengan rangkaian restoran makanan segera itu memberikan cadangan itu memandangkan masih belum ada yang membuat perniagaan ayam goreng ala KFC dengan harga mampu beli pada masa itu.

Twister antara menu yang mendapat sambutan hangat.
Twister antara menu yang mendapat sambutan hangat.

“Apabila ambil keputusan untuk membuka kedai, saya keluarkan wang simpanan RM5,000 untuk membeli peralatan dan kelengkapan. Peringkat permulaan tu, saya hanya menggunakan meja dan kerusi plastik kerana masalah modal.

“Tapi lama-kelamaan, saya menambah baik kemudahan dan peralatan. Saya juga membuat renovasi yang lebih cantik untuk menarik perhatian pelanggan, khususnya bagi yang berkeluarga,” katanya.

Kini, setelah hampir enam tahun beroperasi, Ahmad Shah sudah boleh berbangga dengan Ayam Goreng MAD yang mempunyai 10 pekerja.

Dia juga mempunyai kedai francais berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu, Gong Badak di samping mengekalkan gerai ayam goreng berhampiran Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Pasir Panjang.

Puyuh goreng menu istimewa

Antara menu yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggannya adalah ayam goreng, cheezy wedges dan popcorn chicken.

Ahmad Shah.
Ahmad Shah.

Menariknya, harga yang ditawarkan Ayam Goreng MAD sangat berpatutan, iaitu antara RM1 hingga RM5.50.

“Antara menu istimewa kami ialah puyuh goreng. Saya ambil keputusan untuk menjual puyuh goreng kerana ramai pelanggan yang minta. Bila lihat pasarannya yang baik, di samping bekalan mudah untuk diperoleh, saya mula jual puyuh goreng.

“Antara kelebihan makanan di sini adalah kita mementingkan kualiti makanan dan kerangupannya. Ramai pelanggan setia kami datang kerana kerangupan dan rempahnya yang kena dengan selera orang kita,” katanya.

Jelas Ahmad Shah, Restoran Ayam Goreng MAD beroperasi setiap hari dari jam 3.40 petang hingga 11.30 malam, kecuali Jumaat.

Katanya, ramai kalangan pelanggannya dari luar, malah ada pelanggan setianya dari Kuantan, Dungun dan Kuala Berang.

Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus turut merasai keenakan makanan yang terdapat di Ayam Goreng MAD.
Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus turut merasai keenakan makanan yang terdapat di Ayam Goreng MAD.

“Ayam Goreng MAD baharu sahaja mendapat MyIPO, iaitu pendaftaran nama secara sah. Buat masa ini, saya ingin memperkemaskan pengurusan dan operasi di restoran ini dahulu.