KPDNHEP rampas baja subsidi RM250,000 di gudang haram

Anggota penguatkuasa memeriksa baja yang ditemui di gudang terbabit.
Anggota penguatkuasa memeriksa baja yang ditemui di gudang terbabit.
A
A
A

GUAR CHEMPEDAK - Sebuah gudang haram yang dijadikan tempat menyimpan dan menjual semula baja termasuk baja subsidi dengan harga lumayan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan Ops Tabur IV di sini semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas sebanyak 96,000 kg baja termasuk baja bersubsidi bernilai RM250,000.

"Ketika serbuan, beberapa lelaki dipercayai sedang menaikkan baja yang siap diproses ke atas lori kontena untuk dipasarkan ke seluruh negara. Hasil pemeriksaan kita menemui sejumlah unit baja subsidi dan baja lain-lain jenama.

Pekerja warga asing yang sedang memproses baja di sebuah gudang haram.
Pekerja warga asing yang sedang memproses baja di sebuah gudang haram.

"Anggota serbuan KPDNHEP bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Imigresen Malaysia turut menemui baja siap diproses iaitu yang disyaki dibungkus semula sebelum dijual dengan harga pasaran," katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai pemilik gudang ditahan selepas pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak memiliki apa-apa lesen berkaitan penyimpanan baja.

"Lelaki itu juga tidak memiliki lesen borong yang juga satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Turut ditahan empat lelaki warga Pakistan berusia antara 30 hingga 40 tahun dipercayai bekerja antara lapan bulan hingga tiga tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati baja tempatan termasuk yang diberikan bantuan subsidi kerajaan turut diproses dengan menukar bungkusan sebelum dijual.

Anggota penguat kuasa memeriksa lori berisi baja yang siap dipek semula sebelum dipasarkan.
Anggota penguat kuasa memeriksa lori berisi baja yang siap dipek semula sebelum dipasarkan.

Premis berkenaan dipercayai disewa untuk dijadikan lokasi memproses baja secara haram dan baja yang dibeli hasil subsidi kepada petani difahamkan ditukar bungkusan sebelum dimasukkan ke dalam bungkusan guni baharu dan dipek semula untuk dipasarkan ke seluruh negara.

Maklumat yang diperoleh mendapati pengusaha membeli baja dengan harga antara RM20 dan RM30 sekampit sebelum menjual semula dengan harga kira-kira RM100 sekampit dengan menggunakan jenama baharu.

Tinjauan juga menunjukkan baja yang siap diproses sedang dinaikkan ke dalam lori kontena disyaki untuk dihantar ke Johor.