Awesome TV didenda RM250,000

Awesome TV
Awesome TV
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan denda RM250,000 kepada rangkaian penyiaran tempatan Awesome TV berikutan beberapa kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen yang sah, menurut laporan The Vibes.

Lesen itu difahamkan digunakan Awesome Media Network Sdn Bhd meskipun dikeluarkan kepada Awesome Broadcasting Sdn Bhd.

Pada 21 Februari lalu, SKMM memaklumkan akan membuka satu kertas siasatan terhadap saluran televisyen swasta itu mengikut Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.

Kemudian pada Mac, SKMM memberitahu media bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan terhadap salah sebuah syarikat induk Awesome TV atas kemungkinan berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 36 akta sama, yang melarang pemindahan pemilikan lesen tanpa kelulusan bertulis daripada menteri bertanggungjawab bagi komunikasi dan multimedia.

“Pelanggaran itu sudah memadai untuk SKMM menutup stesen itu tetapi ia meneruskan kompaun terhadap stesen berkenaan,” kata sumber seperti dilaporkan The Vibes pada Rabu.

Sebelum ini, Awesome TV telah dipanggil oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung enam kesalahan berkaitan penerbitan bahan berunsur fitnah.

Menurut Fahmi, Awesome TV melakukan kesalahan keenam apabila mendakwa kerajaan merancang untuk memberhentikan 800,000 penjawat awam.

Siaran itu turut dikritik media lain apabila program Berita 7:57 Awesome TV, menyeru orang Melayu mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menghalang kaum lain daripada berkuasa.