Hobi kumpul pistol angin bawa padah

Pistol angin bersama tiga balang kecil gas CO2 yang dirampas dari rumah suspek.
Pistol angin bersama tiga balang kecil gas CO2 yang dirampas dari rumah suspek.
A
A
A

BAYAN BARU - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki tiga pucuk pistol angin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal di Jalan Tun Dr Awang, di sini, pada jam 5 petang.

Menurutnya, selepas pemeriksaan pada beg galas suspek, polis menjumpai sebotol plastik kecil yang mengandungi 'ball bearing' untuk kegunaan pistol angin.

"Susulan daripada penahanan tersebut, dia membawa polis ke sebuah rumah di Lorong Mahsuri 4 di sini. Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, kita menjumpai sebuah beg yang mengandungi dua pucuk pistol berwarna hitam masing-masing bertulis PT-85 Blowback dan P Bereta Made In Taiwan.

"Turut ditemui dalam beg itu adalah tiga balang kecil gas CO2 pistol angin berwarna perak yang bertulis WE. Sementara itu, kita turut menjumpai sebuah kotak plastik berwarna hijau tanpa penutup yang mengandungi sepucuk pistol bertulis Walter PPQ. Kesemua barangan ini dijumpai di tempat barang di ruang meletak kenderaan di rumah terbabit," katanya ketika dihubungi tadi.

Anbalagan berkata, suspek yang bekerja sebagai pekerja kontrak mengubahsuai rumah itu mengakui memiliki kesemua barangan terbabit sebagai koleksi peribadinya.

"Dia mengaku memiliki barangan tersebut kerana hobi dan minat mengumpul sebagai koleksi peribadi. Dia memiliki dua rekod jenayah melibatkan jenayah khianat. Dia juga pernah ditahan kerana kes sama iaitu memiliki pistol angin.

"Suspek mengakui, dia membeli pistol angin dan 'ball bearing' itu melalui sebuah laman sesawang. Buat sementara ini, kita percayai suspek tidak melakukan jenayah dengan senjata tersebut sebaliknya mengumpul sebagai koleksi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.