KKM laksana persiapan hadapi Monsun Barat Daya, El Nino

Dr Zaliha bercakap kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Hari Raya Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) hari ini. - Foto Bernama
Dr Zaliha bercakap kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Hari Raya Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggerakkan persiapan rapi di semua fasiliti kesihatan peringkat negeri dan pusat bagi menghadapi kesan Monsun Barat Daya serta fenomena El Nino, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

"Kita mempunyai jentera dalam KKM yang akan beri rawatan terbaik kepada mangsa... macam El Nino, ia beri perubahan haba ketara di negara ini.

"Mereka yang berdepan gejala berkaitan suhu tinggi, kita galakkan datang ke hospital dan jumpa doktor serta dapatkan rawatan segera,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah hari ini berkata, Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini yang akan menyebabkan taburan hujan lebih rendah berlaku di kebanyakan tempat pada tempoh itu.

Beberapa agensi meteorologi antarabangsa pula meramalkan pembentukan El Nino akan bermula pada pertengahan 2023 hingga awal 2024 dan banyak negara telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah kesan buruk fenomena itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata, KKM berhasrat mempertingkatkan kerjasama dengan pemain industri farmaseutikal di negara ini dalam pelbagai bidang antaranya perkongsian maklumat.

"Kita bincang kerjasama dari sudut berkongsi data dan kolaborasi yang boleh dimainkan lagi,” katanya. - Bernama