991.34kg ikan bilis seludup dirampas

Ikan bilis yang dipercayai diseludup dari Myanmar menggunakan kontena.
Ikan bilis yang dipercayai diseludup dari Myanmar menggunakan kontena.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 991.34 kilogram (kg) ikan bilis yang dipercayai dibawa masuk tanpa dokumen yang sah ke negara ini.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, rampasan bernilai RM11,473 itu dibuat ketika pemeriksaan sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, kontena yang membawa ikan bilis tersebut dipercayai dari Myanmar dan tidak mempunyai import permit (IP) yang sah dari Maqis.

"Perbuatan mengimport ikan bilis tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut seksyen 11(3) akta sama," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Maqis berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup ikan bilis pagi tadi.
Maqis berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup ikan bilis pagi tadi.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Tanggungjawab Maqis adalah memastikan segala bahan pertanian yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada penyakit selain mempunyai sijil bagi bahan makanan yang berkaitan untuk membolehkan rakyat membeli barangan di pasaran tanpa rasa bimbang.

"Oleh itu, semua pengimport perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam menjaga biosekuriti negara bagi memastikan setiap hasil pertanian dan produk makanan yang diimport adalah selamat, berkualiti dan halal," katanya.

Artikel Berkaitan: