Manfaat kepakaran, pengalaman selepas bersara

Rusli (tengah) sempat berswafoto pada sesi beramah mesra dengan pesara TLDM dalam majlis tersebut hari ini.
Rusli (tengah) sempat berswafoto pada sesi beramah mesra dengan pesara TLDM dalam majlis tersebut hari ini.
A
A
A

LUMUT - Kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi menggapai lebih banyak kejayaan selepas persaraan mereka.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli berkata, semua anggota TLDM dilatih dengan nilai disiplin, kerjasama, ketrampilan diri serta integriti sepanjang perkhidmatan.

"Saya percaya ada antara pesara TLDM berkhidmat lebih daripada 20 tahun dan saya juga percaya anda semua masih ingat detik bersejarah hari pertama mengangkat sumpah secara rasmi menjadi anggota TLDM.

"Saya pasti terdapat pelbagai kenangan menjalani latihan berkhidmat di unit-unit yang berbeza mahupun terlibat dalam pelbagai operasi," katanya ketika berucap pada Majlis Fair Winds and Following Seas di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Menurutnya, segala pengalaman, pergaulan serta hubungan dengan rakan seangkatan ketika berkhidmat tanpa disedari menjadi aset penting dan bernilai buat mereka dalam menempuh dunia persaraan.

"Justeru terdapat pelbagai bidang yang banyak untuk diteroka pesara TLDM dengan meneruskan budaya kecemerlangan serta menjadikan kekhilafan sebagai sempadan.

"Saya juga ingin berpesan kepada semua pesara TLDM supaya terus mengamalkan budaya kecergasan bagi memastikan gaya hidup sihat dalam menikmati zaman persaraan," katanya.

Sementara itu, seramai 212 pesara hadir memberi sokongan kepada majlis berkenaan yang dianjurkan setiap tahun bagi mengenang jasa dan pengorbanan yang dicurahkan pesara TLDM ketika berbakti dalam perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Rusli turut menyampaikan Sijil Simpanan 3 Premium BSN (SSP) berserta Sijil Penghargaan TLDM kepada semua pesara yang hadir.

Majlis ramah mesra antara pesara TLDM dan Panglima Armada Barat itu membuktikan bahawa TLDM tidak melupakan warga The Navy People yang terdahulu dan sentiasa memastikan kebajikan pesara terpelihara walaupun sudah bersara dari perkhidmatan.