Tentera Laut Sri Lanka temui 14 mayat dalam bot terbalik

Bot nelayan China yang terbalik di Lautan Hindi pada 16 Mei lalu. - Foto AFP
Bot nelayan China yang terbalik di Lautan Hindi pada 16 Mei lalu. - Foto AFP
A
A
A

COLOMBO - Tentera Laut Sri Lanka telah menemui 14 mayat dalam sebuah bot nelayan China yang karam minggu lalu dengan dinaiki 39 anak kapal.

Penemuan menyayat hati berlaku sehari selepas siasatan awal kerajaan China menyimpulkan tiada mangsa selamat dalam kapal yang terbalik pada 16 Mei lalu.

Kapal Lu Peng Yuan Yu 028, milik Penglai Jinglu Fishery Co Ltd yang berpangkalan di wilayah Shandong dilaporkan karam di Lautan Hindi turut dinaiki 17 warga China, 17 (Indonesia) dan lima (Filipina).

Kementerian Luar Filipina berkata, lokasi bot tersebut terletak kira-kira 1,000 kilometer dari selatan Sri Lanka, namun usaha menyelamat ditangguhkan akibat cuaca buruk.

Tentera Sri Lanka berkata, penyelamnya telah menemui dua mayat dan mengesan 12 lagi pada Selasa, sambil menyiarkan gambar badan bot merah yang terbalik manakala mayat ditarik keluar dari air.

Tambahnya, lokasi 12 mayat itu telah ditanda dan diserahkan kepada pihak berkuasa China.

Bagaimanapun warganegara mayat itu tidak diketahui lagi.

Kenyataan Tentera Laut Sri Lanka dibuat sehari selepas siasatan awal Kementerian Pengangkutan China merumuskan semua anak kapal telah meninggal dunia. - AFP