Kes tibi di Kelantan menurun

Dr Abdul Haris menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada peserta program Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kelantan 2019 dan Ambo Nak Sihat Sokmo Peringkat Machang 2019 di Masjid Pangkal Meleret hari ini. - Foto Bernama
Dr Abdul Haris menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada peserta program Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kelantan 2019 dan Ambo Nak Sihat Sokmo Peringkat Machang 2019 di Masjid Pangkal Meleret hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MACHANG - Kes penyakit tuberkulosis atau tibi di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 9.8 peratus apabila 1,172 kes direkodkan pada 2018 berbanding 1,300 kes pada 2017.

Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan (Kesihatan Awam), Dr Abdul Haris Muhamad berkata, dalam masa yang sama, sebanyak 89.8 peratus pesakit tibi sudah sembuh dan sempurna rawatan pada 2018 berbanding 83 peratus pada 2017.

"Tapi berbeza dengan kes penyakit kusta apabila meningkat dari tujuh kes pada 2017 kepada 12 kes pada 2018. Pesakit tibi memerlukan rawatan sekurang-kurangnya enam bulan manakala penyakit kusta bergantung kepada jenis penyakit iaitu selama enam bulan sehingga 18 bulan.

"Tempoh rawatan yang lama ini menyebabkan segelintir pesakit gagal menghabiskan rawatan dan boleh merebakkan semula penyakit kepada masyarakat. Sebanyak 1.5 peratus pesakit tibi direkodkan gagal mengikuti rawatan sebagaimana yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin pada majlis perasmian Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2019 dan Ambo Nak Sihat Sokmo Peringkat Daerah Machang 2019 di Masjid Pangkal Meleret di sini hari ini.

Menurutnya, pengesanan dan rawatan awal sangat penting bagi mengawal penularan penyakit tibi dan kusta dalam kalangan masyarakat dan ia memerlukan kerjasama semua pihak.

"Kerjasama semua pihak penting bagi memupuk kesedaran tentang penyakit tersebut serta menggerakkan sokongan bagi mengesan serta merawat penyakit di peringkat awal.

"Pesakit-pesakit tibi dan kusta memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat untuk terus mendapatkan rawatan dan dalam masa yang sama membuang pandangan negatif terhadap mereka," katanya.

Artikel Berkaitan: