Jumlah kes Covid-19 menurun 15.7 peratus

Jumlah kes Covid-19 menurun 15.7 peratus pada Minggu Epidemologi ke-23 (ME 23/2023) iaitu bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun kepada 3,814 kes berbanding 4,523 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya (ME22/2023). - Gambar hiasan
Jumlah kes Covid-19 menurun 15.7 peratus pada Minggu Epidemologi ke-23 (ME 23/2023) iaitu bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun kepada 3,814 kes berbanding 4,523 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya (ME22/2023). - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kes Covid-19 menurun 15.7 peratus pada Minggu Epidemologi ke-23 (ME 23/2023) iaitu bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun kepada 3,814 kes berbanding 4,523 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya (ME22/2023).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kadar kemasukan pesakit Covid-19 termasuk pesakit yang disyaki dijangkiti ke fasiliti kesihatan awam menurun kepada 3.8 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 23/2023 daripada 4.4 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 22/2023 iaitu bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun.

Beliau berkata, peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak tiga peratus pada ME 23/2023 berbanding ME 22/2023, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal Covid-19 pula menurun sebanyak satu peratus pada tempoh sama.

"Pada ME 23/2023, sebanyak 87 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 75 kes varian membimbangkan (VOC) dan 12 kes varian yang mendapat perhatian (VOI),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehingga kini, katanya, jumlah kumulatif bagi kes XBB.1.16 (Arcturus) dan "sublineages" adalah sebanyak 55 kes yang kesemuanya adalah kes tempatan.

Dr Zaliha berkata, pecahan kes merangkumi 16 kes di Melaka, 12 kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (tujuh), Sarawak (enam), Johor (empat), Wilayah Persekutuan Putrajaya (tiga), masing-masing dua kes di Perak, Negeri Sembilan, dan Sabah serta Perlis (satu).

Beliau berkata, sehingga ME 22/2023, hasil aktiviti pemantauan gejala demam selesema (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 114 sampel ILI dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 13.44 peratus, manakala sebanyak 9.26 peratus sampel SARI dikesan positif Covid-19.

Dr Zaliha berkata, berdasarkan data sehingga 10 Jun lepas, hanya 50 peratus atau 16,337,334 penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus atau 824,677 sahaja telah menerima dos penggalak kedua.

Mengenai situasi cuaca panas di Malaysia, Dr Zaliha berkata, berdasarkan pemantauan status cuaca panas oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim (NRECC) pada 12 Jun 2023, kawasan yang dilaporkan berada di Tahap Amaran 1 (Berjaga-jaga) hanya melibatkan Bau di Sarawak.

"Tiada kawasan dilaporkan berada di Tahap Amaran 2 (Gelombang Haba)," katanya.

Jumlah kes kumulatif penyakit berkaitan cuaca panas dari ME 16/2023 sehingga ME 23/2023 adalah sebanyak 39 kes melibatkan 23 kes kelesuan haba, 11 kes kejang haba, dan lima kes strok haba, katanya.

Pecahan kes mengikut umur adalah 25 kes melibatkan orang dewasa, sembilan kes remaja, kanak-kanak (tiga) dan warga emas (dua) dan semua kes yang mendapat rawatan adalah stabil dan telah discaj, katanya,

Dr Zaliha berkata, tiada kes kematian baru akibat strok haba dilaporkan pada ME 23/2023 yang menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal satu iaitu kes yang dilaporkan pada 25 April lepas.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengehadkan tempoh berada di kawasan panas terik dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas, selain menggalakkan kerap minum air bagi memastikan hidrasi badan mencukupi.

"Sekiranya tidak sihat, dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan,” katanya. - Bernama