39 kes penyakit akibat cuaca panas, Kelantan tertinggi

Zaliha
Zaliha
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 39 kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan sejak 16 April hingga 10 Jun lalu iaitu dari Minggu Epidemiologi ke-16 (ME 16/2023) hingga ME 23/2023.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, 23 kes adalah kelesuan haba, 11 kejang haba dan lima strok haba.

"Bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah 10 kes di Kelantan, sembilan di Sabah, lapan di Sarawak, dan empat di Melaka.

"Di Terengganu pula tiga kes, dua di Kedah dan masing-masing satu di Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Perak.

"Bagi pecahan mengikut umur pula, 25 kes dewasa, sembilan remaja, tiga kanak-kanak, dan dua warga emas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, tiada kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan ME 23/2023, sekali gus menjadikan bilangan kumulatif kematian akibat penyakit itu kekal sebanyak satu kes sahaja iaitu yang dilaporkan pada 25 April lalu.

"Semua kes yang mendapat rawatan adalah stabil dan telah discaj," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Monsun Barat Daya yang dijangka berlaku sehingga September ini membawa cuaca lebih kering, Zaliha menasihatkan orang ramai agar menghadkan tempoh berada di kawasan panas terik dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas.

"Orang ramai juga digalakkan untuk kerap minum air bagi memastikan hidrasi badan mencukupi. Elakkan dari melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian jerebu," katanya.

Justeru katanya, mana-mana pihak yang didapati tidak sihat diminta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan.