Sedia peluang kerja untuk OKU

Harunarrsheed (dua dari kiri) bersama pekerja OKU yang mahir dalam bidang jahitan menunjukkan baju yang mereka jahit.
Harunarrsheed (dua dari kiri) bersama pekerja OKU yang mahir dalam bidang jahitan menunjukkan baju yang mereka jahit.
A
A
A

SEREMBAN – Jika anda mempunyai anak kurang upaya (OKU) yang boleh menguruskan diri, berkemampuan bekerja dan boleh mengikut arahan yang ditetapkan anda boleh kunjungi Pusat Latihan dan Pekerjaan OKU di Mambau, bagi memberi peluang mereka bekerja selain mempunyai pendapatan bulanan sendiri.

Pusat latihan ini yang lebih dikenali Bengkel Seri Sembilan merupakan tempat yang menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan OKU serta bernaung di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tanpa mengira kaum, bangsa atau agama, mana-mana insan istimewa yang berkelayakan serta mendapat kelulusan daripada panel penilai yang dilantik boleh menginap di pusat ini selain diberikan pekerjaan dan gaji.

Antara pekerjaan yang ditawarkan adalah melipat sampul surat, jahitan, pembersihan, kendali mesin, pertanian dan penternakan ayam.

Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim berkata, pekerjaan utama bengkel ini adalah sebagai pembekal sampul surat di mana ia merupakan bahagian yang mempunyai paling ramai pekerja.

Menurutnya, Bengkel Seri Sembilan dikenali sebagai pembuat, pembekal dan penghantar sampul surat ke agensi kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat swasta.

“Kita bersyukur kerana hampir semua agensi dan jabatan kerajaan mengambil sampul surat daripada bengkel kita yang diusahakan sendiri golongan OKU sepenuhnya.

“Pelbagai jenis saiz sampul surat kita buat termasuklah sampul surat bercetak alamat dan logo jabatan mengikut kehendak pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Harunarrsheed berkata, kebanyakan golongan OKU yang datang bekerja di sini terdiri daripada mereka yang lembam pelajaran, buta, pekak dan bisu serta yang berkerusi roda akibat kecacatan di kaki.

Harunarrsheed semasa melihat pekerjanya di Bengkel Seri Sembilan.
Harunarrsheed semasa melihat pekerjanya di Bengkel Seri Sembilan.

Katanya, selagi mana mereka ini boleh menguruskan diri sendiri serta boleh menerima arahan, tiada apa boleh memisahkan mereka dengan dunia pekerjaan yang melayakkan mereka mempunyai pendapatan sendiri antara RM200 hingga RM900 sebulan mengikut keupayaan masing-masing.

“Mereka yang bekerja di sini sama dengan pekerja normal di luar, mereka mempunyai potongan KWSP dan Perkeso yang dipotong melalui gaji mereka.

“Selain itu, pekerja OKU ini turut menerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dari JKM sebanyak RM400 sebulan yang dimasukkan terus ke akaun mereka.

“Ada antara mereka yang mempunyai jumlah simpanan lebih RM50,000, mereka tidak keluar membeli-belah semuanya makan di sini secara percuma, orang biasa pun tak boleh simpan duit gaji sebanyak itu,” katanya.

Katanya, kerja di sini semuanya mudah serta mengikut kemahiran individu itu sendiri, ada yang mahir kendalikan mesin cetak, ada yang menjahit, menanam cendawan, cili, penternak ayam dan yang paling ramai melipat sampul surat.

Keistimewaan OKU yang bekerja di sini antaranya segala makan minum mereka adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan sebanyak empat kali sehari.

Harunarrsheed berkata, penyediaan asrama lelaki dan wanita serta kelengkapan lain turut disediakan bagi keselesaan pekerja termasuk rawatan kesihatan.

“Bagi mereka yang bekerja lebih 10 hari akan diberi elaun khas sebanyak RM150 selain mempunyai aktiviti sukan, kebudayaan, riadah dan lawatan luar.

“Dari segi rohani pula kita menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri untuk menjayakan kelas Fardu Ain, program celik al-Quran dan bacaan Yasin serta tahlil,” katanya. Sehingga kini Bengkel Seri Sembilan mempunyai 45 penghuni dan 11 pekerja di bahagian pentadbiran.