157,760 peluang pekerjaan hasil FDI sejak 2017

Chin Tong ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Chin Tong ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 157,760 peluang pekerjaan telah diwujudkan hasil daripada 1,392 projek pelaburan langsung asing (FDI) yang bernilai RM426.6 bilion dalam tempoh 2017 hingga 2022.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, daripada jumlah itu, 133,117 atau 84.3 peratus merupakan pekerja tempatan manakala selebihnya, 26,643 merupakan pekerja asing.

“Kemasukan pelaburan pelabur asing FDI merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi membawa kesan yang positif kepada negara dan rakyat menerusi penjanaan peluang perniagaan, pemindahan pengetahuan, kemahiran teknologi serta jutaan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Berdasarkan data pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, projek pemilikan asing yang direalisasikan dari kelulusan tahun 2017 hingga 2022 telah mewujudkan 157,760 peluang pekerjaan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa-BN) yang ingin mengetahui berkenaan jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan hasil daripada FDI sejak 2017 hingga 2022.

Menurut Chin Tong, mengikut pecahan, dalam tempoh tersebut sebanyak 1,164 projek perkilangan yang bernilai RM329.9 bilion telah direalisasikan dan mewujudkan 150,873 peluang pekerjaan.

Tambahnya, industri perkilangan utama merupakan sektor yang paling tertinggi mewujudkan peluang pekerjaan hasil daripada pemilikan asing.

Jelas beliau, ia melibatkan industri elektrik dan elektronik sebanyak 75,593 pekerjaan diwujudkan, barang logam asas (14,477 pekerjaan), jentera dan kelengkapan (7,001 pekerjaan), barangan galian dan logam (6,820 pekerjaan) dan barangan getah (5,721 pekerjaan).

“Bagi sektor perkhidmatan, sebanyak 228 projek dengan pelaburan bernilai RM 96.7 bilion telah direalisasikan daripada 2017 hingga 2022 dan mewujudkan 6,887 peluang pekerjaan," ujarnya.

Pada masa sama, menjawab persoalan Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu-PN) berkenaan meminimumkan pekerja asing dalam industri pembuatan, beliau berkata, kerajaan memang berhasrat ke arah perkara tersebut.

Jelasnya, dasar mengenai 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing akan dituruti namun belum dilaksana secara penuh.

“Tapi hala tuju ialah untuk kurangkan pekerja asing dalam industri terutama dalam perbuatan,” ujarnya.