Dua warga emas didakwa

Dua warga emas, Loh Kim Yong (kiri) dan Ooi Kooi Lam (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas dua pertuduhan menerima wang deposit daripada orang ramai tanpa lesen sah melibatkan transaksi lebih RM90,000 kira-kira empat tahun lalu.
Dua warga emas, Loh Kim Yong (kiri) dan Ooi Kooi Lam (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas dua pertuduhan menerima wang deposit daripada orang ramai tanpa lesen sah melibatkan transaksi lebih RM90,000 kira-kira empat tahun lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menerima wang deposit daripada orang ramai tanpa lesen sah melibatkan transaksi lebih RM90,000 kira-kira empat tahun lalu.

Tertuduh, Ooi Kooi Lam, 61, dan Loh Kim Yong, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah antara Julai 2015 hingga Disember 2015 di Alliance Bank Cawangan Alor Setar, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, dua rakan kongsi itu didakwa melakukan kesalahan sama antara Januari 2016 sehingga Disember 2016 di tempat sama.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM50 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Eng Yuh Pei.

Mohd Alif menegaskan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dicadangkan bagi setiap seorang adalah berpatutan berikutan kedua-dua kesalahan itu melibatkan transaksi melebihi RM90,000 pada prosiding sama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Yuh Pei memohon pengurangan ikat jamin untuk kedua-dua anak guamnya disebabkan Kooi Lam yang menghidap penyakit darah tinggi dan diabetes baru sahaja kematian isteri pada Mei lepas.

Yuh Pei memberitahu Kim Yong hanya memperolehi pendapatan bulanan kira-kira RM2,500 dengan bekerja sebagai ejen insurans.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh.

Tarikh 2 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen perbicaraan.