Lelaki kopiah, berkain pelekat sembah tokong ditahan

Rakaman gambar dari klip video tular dalam Facebook menunjukkan aksi suspek berpakaian kain pelekat dan kopiah menjalani aktiviti pemujaan tokong Dato Kong di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang baru-baru ini.
Rakaman gambar dari klip video tular dalam Facebook menunjukkan aksi suspek berpakaian kain pelekat dan kopiah menjalani aktiviti pemujaan tokong Dato Kong di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang baru-baru ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang lelaki Cina yang mencetuskan kontroversi melalui laman sosial Facebook apabila menyembah tokong dengan berpakaian kain pelekat dan berkopiah di Tanjung Piandang dekat sini baru-baru ini, ditahan polis petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki terbabit berusia 43 tahun dan berasal dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini, ditahan setelah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini pada jam 5 petang.

Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut susulan satu laporan polis dibuat terhadapnya oleh wakil Jawatankuasa Masjid Jamek Tanjung Piandang pada jam 2.20 petang, 7 Mei lalu.

"Bagaimanapun, tiada rampasan dibuat ke atas suspek kerana pakaian dipakai oleh suspek seperti dalam klip video yang tular dalam laman sosial telah dialihkan dan dibuang oleh individu tidak dikenali.

"Suspek kini ditahan di dalam lokap Balai Polis Bagan Serai dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Parit Buntar pagi esok," katanya kepada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, hasil siasatan lanjut, suspek memaklumkan pakaian dipakainya sewaktu mengadakan aktiviti pemujaan tokong 'Dato Kong' di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang tempoh hari adalah syarat pemakaian wajib dikenakan ke atas setiap pemuja.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan rangkaian media sosial secara tidak wajar.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan satu klip video yang dimuat naik dalam dua laman Facebook milik dua komuniti di Perak sejak Jumaat lalu, tular sehingga mencetuskan perbalahan di kalangan netizen, sama ada menghina Islam dan Melayu atau tidak.

Artikel Berkaitan:

Klip video 15 saat itu menunjukkan seorang lelaki Cina berpakaian kain pelekat, berkopiah putih dan berbaju-T putih, pakaian yang sering dipakai umat Islam mengambil colok dan menyembah tokong.

Laporan polis itu dibuat oleh wakil Jawatankuasa Masjid Jamek Tanjung Piandang di Balai Polis Tanjung Piandang dekat sini.

Laporan dibuat dengan memberi alasan bahawa ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci, niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni dan perpaduan.

Menurut fakta kes, satu klip video tular dimuat naik Facebook ‘i am Parit Buntar’ dan ‘Bagai Serai Kampung Halamanku’ yang menunjukkan seorang lelaki Cina bersembahyang (ritual menyembah tokong) dengan berpakaian seakan-akan pakaian Muslim.