Lelaki tular pandu melulu punca kemalangan ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memandu kereta secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Syed Putra dari arah pusat bandar Kuala Lumpur menuju ke Mid Valley pagi Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada jam 3 petang Selasa.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika suspek memandu di lorong pertama iaitu laluan motosikal dan bas, manakala pengadu merupakan seorang lelaki menunggang di lorong kedua dari arah pusat bandar Kuala Lumpur menghala ke Mid Valley.

"Semasa di lokasi kejadian, suspek telah memandu secara melulu dan berbahaya dengan mengubah haluan ke lorong kedua.

"Malah suspek juga telah bertindak memberhentikan kereta secara mengejut menyebabkan pengadu gagal mengawal motosikal lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sarifudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, terdapat satu rakaman 'dashcam' tular di media sosial Twitter yang dimuat naik memaparkan sebuah kereta dipandu secara melulu dan berbahaya.

Malah tindakan memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba di tengah jalan raya menyebabkan seorang penunggang motosikal merempuh kenderaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Suspek dipercayai memecut kenderaan dipandunya setelah kejadian kemalangan tersebut berlaku.

Sebelum itu, rakaman tersebut menunjukkan kedua-duanya sedang bertengkar dipercayai kerana kesalahan jalan raya.