Tak mengapa, sesiapa pun berhak kritik, kata Latheefa Koya

Latheefa (tengah) memulakan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini.
Latheefa (tengah) memulakan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - “Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Beebi Koya.

Beliau yang memulakan tugas pada hari ini menegaskan cakna dengan pelbagai pendapat yang dikeluarkan selepas dilantik memegang jawatan berkenaan.

Menurutnya, semua pihak berhak mengeluarkan pandangan namun Latheefa memaklumkan tugasnya kini adalah untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja.

“Dengan sokongan, dokongan rakyat dan pegawai-pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah.

“Saya juga akan melihat kepada tindakan jangka panjang termasuk juga pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah.

“Dengan pertolongan ALLAH SWT, saya berharap untuk berjaya dalam tugas saya ini,” ujarnya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuatkuasa 1 Jun lepas menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sejurus pelantikannya, Latheefa yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR sebelum ini mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai ahli biasa parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta pada 3 Jun lepas.

Beliau yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty berkata keputusan itu diambil selepas beliau dimaklumkan mengenai keputusan pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Pelantikan beliau menimbulkan perdebatan hangat apabila ramai mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak menepati janji manifestonya apabila melantik ahli politik memegang jawatan utama perkhidmatan awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Latheefa tidak lagi ahli PKR - Saifuddin

ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Latheefa atas keputusan saya sendiri: Tun M