SAMM desak SPRM siasat rasuah seks Exco Kanan Melaka

Mohd Zamri (tiga dari kiri) menunjukkan salinan laporan SPRM yang dibuat di pejabat SPRM Melaka di Alai pada Khamis.
Mohd Zamri (tiga dari kiri) menunjukkan salinan laporan SPRM yang dibuat di pejabat SPRM Melaka di Alai pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang Exco Kanan Melaka yang dikaitkan dengan skandal rasuah seks sebagaimana tular baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasanya, Mohd Zamri Abu Bakar berkata, adalah menjadi kepentingan awam bagi SPRM menyiasat isu yang wujud elemen rasuah seks dan ada berhubung kait dengan projek di bawah portfolio Exco yang dimaksudkan.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada SPRM setelah perkara itu didedahkan di media sosial Facebook, milik dua individu yang telah memuat naik maklumat, gambar, tangkap layar dan video mengaitkan individu terbabit yang mula tular pada 25 April lalu.

"Bukti-bukti yang dimuat naik menunjukkan Exco terbabit mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang menawarkan khidmat seks bagi mendapat bayaran.

"Pendedahan itu jelas ada elemen rasuah yang sangat besar di mana wanita itu telah pun memberikan khidmat seks bagi tujuan mendapatkan projek untuk 'uncle' nya.

"Watak yang dikatakan Exco Kerajaan Negeri itu berjanji memberikan projek demi mendapatkan layanan seks," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM Melaka di Alai pada Khamis.

Menurutnya, tindakan itu jelas menyalahi undang-undang kerana dipercayai menggunakan kedudukan untuk memberikan rasuah dengan layanan seks dan dibalas dengan menawarkan projek kepada perempuan terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Zamri turut menyarankan SPRM memanggil dua watak yang membuat pendedahan berkenaan dan pada masa sama perlu segera menyiasat kedua-dua individu iaitu wanita dan Exco kerajaan negeri yang dimaksudkan.

"Rakyat hari ini dalam keadaan sangat tertekan dengan kos kehidupan dan pendedahan ini umpama mencurah garam ke luka rakyat," katanya lagi.

Sementara itu Pengarah SPRM negeri Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat pihak berkenaan.