PKPIM minta SPRM terus gempur rasuah dalam kementerian

PKPIM menyokong penuh komitmen SPRM selaku badan bebas dalam menyiasat isu-isu berkaitan rasuah di negara ini. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Ahmad Farhan
PKPIM menyokong penuh komitmen SPRM selaku badan bebas dalam menyiasat isu-isu berkaitan rasuah di negara ini. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Ahmad Farhan
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini aktif membongkar, menyiasat dan mengambil tindakan kegiatan rasuah dalam setiap kementerian diyakini mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan asuruhanjaya itu.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, pihaknya menyokong penuh komitmen SPRM selaku badan bebas dalam menyiasat isu-isu berkaitan rasuah di negara ini.

Menurutnya, usaha tersebut perlu berterusan dan tidak bersifat politik semata-mata.

“Tidak kira melibatkan kerajaan dahulu atau sekarang, kita harap siasatan SPRM tidak bersifat politik ataupun hanya penyiasatan terpilih.

“Sekiranya ada dalam kalangan penjawat awam atau pimpinan utama negara yang melakukan jenayah rasuah walaupun ketika mereka bergelar menteri atau memegang jawatan dalam badan awam, SPRM perlu ambil serius,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu media melaporkan seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2021, yang turut dikaitkan dengan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas mengenai pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau menyifatkan ia sebagai satu kepercayaan besar diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun Azam pernah terpalit dengan kontroversi sebelum ini.

Justeru katanya, siasatan dalaman SPRM juga perlu dibuat bagi memastikan tidak berlaku salah guna kuasa melibatkan pegawai SPRM sendiri.

“Kerajaan perlu memastikan proses semak dan imbang dalam SPRM ini berlaku, dan saya letakkan keyakinan di bawah kepimpinan Perdana Menteri bagi memastikan isu rasuah dalam negara ditangani,” katanya.