Air Selangor cari punca paip pecah

Kerja-kerja pengeringan air di lokasi kejadian sekitar Setia Alam sedang dilaksanakan oleh pihak Air Selangor.
Kerja-kerja pengeringan air di lokasi kejadian sekitar Setia Alam sedang dilaksanakan oleh pihak Air Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sedang berusaha mengeringkan air di kawasan kejadian paip pecah di jajaran paip utama di Setia Alam, pagi tadi, bagi mengenal pasti punca insiden yang menjejaskan kira-kira 155,410 akaun pengguna di sekitar Klang dan Kuala Langat.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Charles Santiago berkata tempoh jangka masa bagi proses baik pulih paip pecah itu juga hanya akan diketahui selepas punca kejadian dikenal pasti.

"Air Selangor akan keluarkan kenyataan sekitar jam 6 petang nanti bagi memaklumkan punca dan tempoh jangka masa baik pulih paip pecah ini," katanya ketika turun ke lokasi kejadian di Setia Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Charles berkata pengguna yang terjejas masih menerima baki bekalan air tangki dengan tekanan yang rendah.

Tambahnya, kakitangan Air Selangor juga sedang berusaha bagi menyelesaikan permasalahan itu dengan melakukan kerja baik pulih 24 jam tanpa henti.

"Kita memahami sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin tiba dan pihak Air Selangor sedang bertungkus lumus menyelesaikan permasalahan ini," katanya.

Dalam pada itu, mana-mana pengguna yang terjejas boleh mendapatkan air menerusi lori tangki yang disediakan di Pusat Khidmat Setempat (PKS).

ARTIKEL BERKAITAN: 155,410 akaun pengguna terjejas bekalan air

Artikel Berkaitan: