Cuaca panas: Bekalan air Selangor cukup untuk enam bulan

Amirudin (dua dari kanan) merasmikan Projek SJAM di Rumah Pam HORAS, Kampung Sungai Darah Bestari Jaya di sini pada Khamis.
Amirudin (dua dari kanan) merasmikan Projek SJAM di Rumah Pam HORAS, Kampung Sungai Darah Bestari Jaya di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor memberi jaminan bekalan air di negeri ini mencukupi untuk tempoh enam bulan bagi menghadapi musim panas yang melanda seluruh negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jaminan itu berdasarkan pelaksanaan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Selangor yang menelan belanja RM320 juta.

Menurut beliau, SJAM bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah bekalan air pada musim kemarau malah membantu menangani isu pencemaran air.

"Projek infrastruktur ini merangkumi empat pakej A, B, C dan D, malah projek ini sebenarnya dijangka siap lebih awal, namun disebabkan PKP (Perintah Kawalan dan Pergerakan), maka ia tergendala," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek SJAM di Rumah Pam HORAS, Kampung Sungai Darah Bestari Jaya di sini pada Khamis.

Jelas beliau, pada masa ini, kerajaan negeri mempunyai 98 kolam takungan dan enam empangan sedia ada yang mampu membekalkan air jika berlaku pencemaran dan kemarau.

"Situasi paras semasa semua empangan berada dalam keadaan yang memuaskan iaitu simpanan takungan melebihi 90 hingga 95 peratus," katanya.

Ujar beliau, sebanyak 1.6 juga akaun pengguna dijangka menerima manfaat menerusi projek tersebut.

"Antara fungsi lain kolam takungan ini juga berupaya menyedut keluar air tercemar menggunakan sistem pengepaman.

"Apabila pencemaran air mentah dikesan di Sungai Selangor, Collapsible Weir akan dinaikkan untuk menghalang air mentah tercemar memasuki muka sauk LRA SSP 1,2 dan 3 dengan melencongkan air tercemar tersebut," jelas beliau.