NGO minta kerajaan pusat bantu pengurusan air di Kelantan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan mahu kerajaan persekutuan tampil membantu berkaitan urus tadbir Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi memastikan masalah air dapat diselesaikan sebaik mungkin selain suntikan dana.

Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad berkata, untuk rekod, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang Parlimen 21 Julai 2022 mendedahkan kelemahan urus tadbir AKSB dan kedudukan kewangan tidak mampan menjadikan entiti tersebut berdepan kesukaran dalam memberikan perkhidmatan air terawat kepada rakyat negeri ini.

"Sementara itu, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah yang disiarkan Sinar Harian pada 8 Mei lalu mengakui Kelantan ada masalah air dan tidak pernah nafikan perkara itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian merujuk kepada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya sempena Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat Kelantan pada Jumaat di Stadium Sultan Muhammad IV.

Dalam ucapan tersebut, Anwar berkata akan memberi komitmen untuk melaksanakan projek bekalan air yang lengkap dan tepat untuk negeri ini.

Mohd Syahiran memberitahu, ABIM Kelantan menyambut baik komitmen kerajaan persekutuan untuk membantu rakyat Kelantan dalam menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Beliau berharap agar kerajaan pusat dan negeri terus bekerjasama serta mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan rakyat.