UIAM rangkul dua anugerah IFN 2026, kekal dominan dalam kewangan Islam

GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF) sekali lagi diiktiraf di peringkat global apabila meraih dua anugerah utama di IFN Awards 2026 anjuran Islamic Finance News (IFN).
UIAM dinobatkan sebagai Best Educational Institution Offering Islamic Finance Courses, sekali gus mencatat kemenangan empat tahun berturut-turut dalam kategori tersebut, iaitu pada 2023, 2024, 2025 dan 2026.
Dalam pada itu, IIiBF diumumkan sebagai Best Islamic Finance Research Firm bagi tahun ketiga berturut-turut, selepas turut memenangi kategori sama pada 2024 dan 2025.
Menurut Dekan IIiBF, Prof. Dr. Romzie Rosman, kejayaan tersebut membuktikan usaha dan komitmen berterusan dalam menjadikan UIAM .. peneraju utama di dalam pendidikan dan penyelidikan kewangan Islam global..
"Ia juga menjadi penanda aras yang baik dalam usaha kami menghasilkan graduan yang lengkap dan bersedia untuk berkhidmat di institusi kewangan Islam di seluruh dunia," katanya.
Kejayaan itu turut dikongsi bersama warga universiti, dengan penghargaan dirakamkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Universiti (UMC), para dekan serta pengarah atas sokongan, kepimpinan dan dedikasi mereka terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
Anugerah IFN merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri kewangan Islam global, dengan pemenang dipilih melalui undian pemain industri, institusi kewangan dan pihak berkepentingan di seluruh dunia.
Kejayaan berturut-turut ini mencerminkan konsistensi UIAM dalam menghasilkan graduan dan penyelidikan berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan ekosistem kewangan Islam yang lebih inklusif dan mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
